KUALA LUMPUR: Pembinaan karakter seseorang murid dilihat lebih penting berbanding memaksa mereka ‘berlumba’ di peringkat pendidikan rendah.
Naib Canselor dan Presiden di Universiti Antarabangsa Albukhary, Profesor Emeritus Datuk Dr. Abd Aziz Tajuddin berkata, langkah kerajaan untuk tidak kembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) merupakan langkah yang tepat.
Kata beliau, di peringkat pendidikan rendah, murid-murid tidak sepatutnya ditekan dan berlumba dalam pendidikan kerana sepatutnya dalam fasa tersebut mereka mengalami pendidikan yang bersifat menyeronokkan.
“Dahulu untuk pelajar disifatkan cemerlang dalam pendidikan mereka kena ‘berlumba’ sehingga lupa bahagian pembinaan karakter diri. Kita terlalu awal sangat memberi tekanan kepada mereka.
“UPSR ini dulu memang satu perkara yang bagus sebab kita tidak ada kemudahan seperti mana sekarang.
“Era kini kita boleh dapatkan ilmu di mana-mana sahaja kerana perkembangan teknologi tetapi membina sahsiah diri itu perlu dilakukan di sekolah pada usia yang muda,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Terdahulu akhbar ini melaporkan, UPSR tidak sesuai dilaksanakan ketika ini kerana ia dilihat menyekat usaha membentuk karakter, keupayaan dan jati diri seseorang murid.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, ketika ini Kementerian Pendidikan (KPM) mahu setiap murid itu diberi nilai tambah dari segi pembinaan karakter sebagai benteng menghadapi dunia tanpa sempadan ketika ini.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Prof. Dr. Omar Yaakob berkata, sekiranya UPSR dilaksanakan semula ia akan menyebabkan sistem pendidikan berundur ke belakang.
Katanya, UPSR sebelum ini menyebabkan wujudnya jurang akses kepada pendidikan daripada dua golongan murid daripada kumpulan keluarga berbeza iaitu B40 dan T20 umpamanya.
“Ibu bapa yang mampu akan menghantar anak-anak mereka ke tuisyen dan sebagainya bagi memastikan prestasi pendidikan anak mereka tidak akan jatuh.
“Tetapi bagi murid yang daripada keluarga tidak mampu untuk menghantar mereka ke kelas tambahan pula akan terus hanyut kerana metrik yang digunakan tidak mengukur pencapaian atau prestasi sebenar sistem pendidikan kita,” katanya. – UTUSAN











