Banjir tidak boleh disambut sebagai ‘pesta tahunan’

Banjir tidak boleh disambut sebagai ‘pesta tahunan’

PENUNGGANG motosikal meredah banjir yang menenuhi jalan raya di Kuala Terengganu, baru-baru ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Banjir yang melanda Pantai Timur sejak Isnin lalu tidak boleh disambut sebagai ‘pesta tahunan’ kerana mempunyai risiko terhadap keselamatan nyawa dan kesihatan orang ramai.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pembangunan) Fakulti Sains Sosial Gunaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Dr. Mohd. Khairul Amri Kamarudin berkata, situasi banjir sekarang juga tidak lagi sama seperti zaman dahulu ekoran beberapa faktor.

Menurutnya, faktor perubahan iklim, pencemaran alam sekitar dan aktiviti antropogenik tanpa kawalan memberi pengaruh besar terhadap impaknya pada masa kini.

Katanya, perubahan iklim yang ketara seperti peningkatan suhu global, perubahan dalam corak hujan yang boleh menjejaskan kekerapan, jumlah intensiti hujan yang tinggi dan peningkatan aras air laut akan menyebabkan kekerapan banjir ekstrem berlaku di luar jangkaan.

“Ini bermaksud risiko banjir yang berlaku kini lebih berbahaya berbanding zaman dahulu yang terbukti melalui pelbagai rentetan bencana yang boleh berlaku seperti runtuhan tanah secara tiba-tiba, luruan air banjir (kepala air) dan banjir kilat.

“Banjir bukanlah satu bencana yang boleh diambil enteng kerana fakta dan sejarah menunjukkan pelbagai peristiwa yang meragut nyawa telah berlaku ketika banjir melanda Malaysia dan ia perlu dijadikan iktibar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tularnya beberapa video yang memaparkan kegembiraan penduduk Pantai Timur bermain banjir dengan pelbagai aktiviti seperti mandi manda, menangkap ikan dan ada yang mencecah roti serta biskut ke dalam air banjir sebelum memakannya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembangunan yang tidak teratur dan terkawal pula boleh mengakibatkan perubahan aliran air, penyusutan kadar penyerapan air bawah tanah dan penghasilan sedimentasi yang tinggi.

“Akhirnya menyebabkan sistem perparitan atau kapasiti saliran sungai semakin berkurangan. Keadaan ini menyebabkan kawasan tersebut mudah mengalami banjir.

“Kebiasaannya, situasi ini akan menyebabkan berlakunya bencana banjir yang berisiko tinggi, sama ada dari segi keadaan fizikal banjir atau kualiti air itu sendiri yang mungkin membawa penyakit bawaan air akibat pencemaran alam sekitar dan pembangunan yang tidak teratur,” katanya.

Tambahnya, dari segi kesihatan pula, air banjir adalah berisiko membawa penyakit berkaitan air seperti jangkitan pernafasan akut, sakit mata, leptospirosis, cirit-birit, disentri, taun/kolera, demam kepialu, keracunan makanan dan jangkitan kulit.

“Ini kerana tahap kebersihan sistem perparitan, sampah sarap, takungan najis yang keluar bersama-sama limpahan air dan kawasan punca air banjir yang tercemar. Risiko binatang liar seperti ular dan lipan juga tinggi ketika berlakunya banjir, hal ini kerana habitat hidupan ini telah ditenggelami air,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya