Baju kebaya Che Menjalara kekal utuh selepas 90 tahun

Baju kebaya Che Menjalara kekal utuh selepas 90 tahun

BAJU kebaya labuh berwarna hijau ini merupakan milik Che Menjalara iaitu isteri kepada Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. UTUSAN/FIRDAUS JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAJU kebaya dipercayai antara busana wanita tertua di negara ini. Namun, tidak diketahui dengan tepat bila bermulanya kemunculan busana ini. 

Bagi membongkar rahsia di sebalik pemakaian yang masyhur sekitar tahun 1800 di Tanah Melayu, Muzium Tekstil Negara menganjurkan Pameran Rahsia Kebaya selama dua bulan. 

Terletak di Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, pameran ini memperagakan keunikan, keanggunan dan kepelbagaian baju kebaya yang menjadi identiti nasional rakyat negara ini. 

Pihak muzium secara eksklusif menghimpunkan sebanyak 60 koleksi baju kebaya milik Jabatan Muzium Malaysia serta pinjaman koleksi seperti Istana Perlis, Istana Selangor dan Arkib Negara Malaysia. 

Penceritaan pameran ini ditelusuri menerusi lima segmen pameran iaitu, Kebaya: Warisan Dahulu, Kini dan Selamanya, Potongan Gaya Kebaya, Kelengkapan Berkebaya, Kelestarian Kebaya dan Kebaya di Mata Dunia. 

Antara yang mencuri tumpuan ialah Kebaya Perlis terbesar setinggi 10 meter dan Kebaya Che Menjalara yang sudah berusia sembilan abad. 

Bersama kurator muzium itu, Salmiahwati Djafar, saya dibawa menyelongkar rahsia di sebalik kebaya di Galeri Saindera. 

Pameran ini masih berlangsung sehingga 31 Disember depan. 

BAJU KEBAYA CHE MENJALARA 

Baju kebaya labuh berwarna hijau ini merupakan milik Che Menjalara iaitu isteri kepada Sultan Kedah, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. 

Baginda merupakan sultan ke-26 yang memerintah negeri itu sejak 1882 hingga 1943. 

Che Menjalara juga adalah bonda kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman. 

Salmiahwanti berkata, baju itu dibuat daripada kain sutera Cina serta dihiasi sulaman kelingkan motif bunga bertangkai dan bertabur. 

“Ia merupakan baju kebaya tradisional yang bersaiz longgar serta mempunyai kekek. 

“Ia dipadankan dengan kain sarung songket limar ikatan gaya tindih kasih dan dilengkapi selendang kelingkan,” katanya. 

Koleksi berkenaan merupakan pinjaman daripada Lembaga Muzium Negeri Kedah yang dihadiahkan oleh waris kerabat diraja itu yang dianggarkan berusia melebihi 90 tahun. 

Walaupun hampir mencecah usia seabad, ternyata koleksi-koleksi lama yang dipamerkan masih kelihatan kemas, terletak dan sempurna materialnya. 

Sudah tentu ia memerlukan penjagaan dan pemantauan rapi agar busana itu tidak dimamah usia, kongsi Salmiahwati. 

“Baju-baju lama kebiasaannya kita tidak akan gantung, sebab kalau gantung ia akan menjadi berat dan lebih cepat lusuh. 

“Jadi, apa yang kita buat adalah teknik hamparan supaya ia tidak mudah koyak. Ia juga akan dilapik supaya tiada kesan sentuhan tangan mahupun bakteria yang datang menghinggap. 

“Kita juga menggunakan bahan kimia tertentu untuk mengilatkan sulaman kelingkan agar tidak kelihatan pudar dan bersinar keemasan,” jelasnya. 

 

KEBAYA PERLIS TERBESAR 

Berukuran setinggi 10 meter dengan menggunakan 341 meter kain, baju kebaya setinggi dua tingkat ini kelihatan sungguh mengagumkan. 

Berwarna kuning lembut, ia merupakan rekaan hasil sentuhan dan kreativiti selama 15 hari oleh pensyarah dan pelajar Kolej Komuniti Arau, Perlis. 

Salmiahwati berkata, busana yang dipersembahkan semasa majlis Kebaya Fest Road to Milan, pada 2013, berjaya menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR). 

Pameran yang pernah berlangsung di Perlis itu disaksikan sendiri oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. 

PELBAGAI KOLEKSI 

Selain memperagakan koleksi kebaya milik kerabat istana, pameran ini turut menampilkan koleksi kebaya moden dan tradisional yang pernah dipakai oleh masyarakat cina peranakan, chetti serta kebaya yang menjadi identiti bagi setiap negeri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya