Atlet para negara terima sokongan kewangan hampir RM 2 juta

DEWAN RAKYAT: Atlet para negara terima sokongan kewangan hampir RM 2 juta sebulan

ADAM ADLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Atlet para peringkat kebangsaan menerima sokongan kewangan bulanan berjumlah RM1.945 juta tahun ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, ia meliputi anggaran per kapita berjumlah RM35,000 merangkumi perbelanjaan kejohanan, elaun dan kemudahan penginapan makan minum atlet.

Katanya, ia juga menyokong 799 atlet para yang mengikuti program pelapis negeri dan 88 atlet para yang menyertai program bakat tahun ini.

“Atlet para di peringkat pelapis disediakan dengan kemudahan sebanyak 98 pusat latihan negeri, bantuan jurulatih atau penggerak yang dilantik oleh Majlis Sukan Negara (MSN), kejohanan sirkit tiga kali setahun, program latihan mod separuh masa empat kali seminggu, pendedahan latihan dalam dan luar negara, peralatan dan pakaian latihan.

“Atlet para di peringkat kebangsaan pula mengikuti program latihan secara berstruktur di Pusat Kecemerlangan Sukan Kampung Pandan secara sepenuh masa. Semua atlet ini disediakan penginapan, makan minum, perkhidmatan sains dan perubatan sukan serta peralatan sukan,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai sokongan kewangan kepada atlet dan jurulatih khususnya dalam paralimpik.

Selain itu, Adam menjelaskan, pemberian insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) turut diberikan secara sama rata termasuk kepada atlet para yang mana pemenang pingat di Sukan Paralimpik menerima nilai insentif berjumlah RM1 juta bagi pingat emas, RM300,000 pingat perak dan RM100,000 pingat gangsa.

“Pemenang pingat di Temasya Paralimpik turut menerima elaun bulanan sepanjang hayat secara sama rata menerusi Skim Imbuhan Tetap Olimpik sebanyak RM5,000 bagi pingat emas, RM3,000 pingat perak dan RM2,000 pingat gangsa.

“Sehingga kini, seramai 13 atlet para menerima insentif berkenaan sepanjang penyertaan kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik,” katanya.

Selain dana kerajaan, MSN juga mengambil langkah meneroka kerjasama strategik dengan pihak swasta untuk mendapatkan tajaan dan sumbangan.

Sehingga November 2023, usaha ini berjaya menjana sebanyak RM13 juta dalam bentuk tunai dan barangan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN