MELAKA: Komuniti etnik Ceti di Kampung Chetti, Gajah Berang dekat sini kesal apabila makanan tradisi kaum itu yang sepatutnya disebut ‘Aram Jada’ ditukar dan ditularkan kepada ‘Haram Jadah’.
Mereka menyifatkan tindakan sesetengah pihak menamakan makanan tradisional itu menggunakan perkataan yang tidak sedap ditutur atau ditulis telah mendatangkan salah faham kepada orang ramai.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, K. Suppiah Pillay, 74, berkata, dia berasa kesal apabila makanan warisan kaumnya dipanggil Haram Jadah menerusi beberapa artikel dan video dimuat naik di laman sosial.
Menurutnya, dalam kalangan komuniti Ceti, tidak wujud perkataan berkenaan sebaliknya makanan yang dimasak seperti lodeh itu dipanggil Aram Jada.
“Saya sangat kecewa bila melihat sebuah video berdurasi 14 minit 50 saat apabila tajuk video itu ditulis Lauk Haram Jadah dan Sambal Belimbing.
“Sepatutnya mereka merujuk kepada kaum Ceti untuk memastikan perkataan itu sebenarnya adalah nama masakan itu atau tidak,” katanya ketika ditemui.
Katanya, Aram Jada adalah sayur campuran seperti terung, kacang panjang, timun, lobak putih dan peria yang dimasak menggunakan santan serta ditumis.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Raja Tamby Pilly, 70, berkata, sejak dahulu lagi makanan itu disebut sebagai Aram Jada.
“Saya berharap semua pihak memperbetulkan semula masakan kaum Ceti itu ditukar kepada Aram Jada.
“Menjelang sambutan Deepavali ini Aram Jada menjadi antara salah satu menu,” katanya. – UTUSAN










