Apa kerajaan GRS buat sampai GLC di Sabah berdepan masalah kewangan? - Warisan - Utusan Malaysia

Apa kerajaan GRS buat sampai GLC di Sabah berdepan masalah kewangan? – Warisan

SAMUEL WONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Warisan (Warisan) mempersoal Kerajaan Negeri Sabah di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai apa yang dilakukan selama tempoh tiga tahun mentadbir, namun berlaku masalah kewangan terhadap syarikat milik kerajaan (GLC) di negeri itu.

Ketua Penerangan Warisan Bahagian Kota Kinabalu, Samuel Wong berkata, masalah kewangan GLC di Sabah jelas menunjukkan ketidakcekapan kerajaan negeri dalam mengurus hal ehwal kewangan.

“Apa yang telah dilakukan kerajaan Sabah selama tiga tahun ini? Ini menunjukkan ketidakcekapan kerajaan GRS. Perkara ini memerlukan akauntabiliti dan hasil yang nyata berbanding terus menuding jari antara satu sama lain.

“Sementara kerajaan GRS mendakwa GLC tidak beroperasi dengan baik, sudah tiba masanya untuk mereka mengatasi kelemahan mereka sendiri. Ini bukan ujian atau tempoh eksperimen, ini adalah tanggungjawab kepada rakyat.

“Duit rakyat bukan untuk tujuan yang sia-sia. Saya ragu siapa yang patut bertanggungjawab atas kerugian kewangan.

“Ini, menunjukkan rakyat Sabah adalah mangsa sebenar berhadapan dengan masalah seperti kekurangan air, pemadaman elektrik, infrastruktur buruk, kos hidup yang tinggi dan kenaikan harga makanan,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dilaporkan berkata, terdapat lebih banyak GLC di Sabah yang mengalami kerugian berbanding mereka yang memperoleh keuntungan.

Beliau menggesa semua GLC meningkatkan usaha ke arah menjadikan perniagaan mereka menguntungkan dan memberi dividen kepada kerajaan negeri.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, lantikan ahli lembaga pengarah GLC harus dibuat mengikut merit dan bukan kuota parti politik yang memerintah.

Pada 22 Disember tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan orang politik bagi jawatan dalam GLC mestilah berdasarkan kelayakan selain mematuhi syarat-syarat tertentu.

Katanya, beliau tidak pernah menyatakan mereka tidak boleh terlibat dalam pengurusan GLC, tetapi yang dilantik itu mesti terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Samuel turut mengkritik kerajaan negeri yang menggunakan GLC sebagai alat dan tujuan politik dengan melantik individu tidak layak ke jawatan utama yang tidak lebih sekadar habuan politik.

“Oleh itu, saya menyeru supaya ada langkah yang lebih strategik dalam GLC dengan mengganti individu yang berkelayakan dan kompeten untuk membimbing entiti ini ke arah keuntungan. Penubuhan pelbagai majlis, jawatankuasa, dan penasihat oleh kerajaan adalah berlebihan dan merosakkan sumber.

“Saya juga menggesa penutupan GLC yang tidak beroperasi, penghapusan majlis dan jawatankuasa yang berlebihan, dan penggantian penasihat yang meragukan. Hentikan sebelum terlambat, lakukan apa yang dijanjikan sekarang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya