PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat pada pukul 5.30 petang ini.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri dalam satu hantaran dalam laman sosial.
“Insya-Allah pukul 5.30 petang ini saya akan menyampaikan ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) di Dewan Rakyat. Nantikan,” kata beliau.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan, perbahasan peringkat dasar mengenai RUU Perbekalan 2024 bagi kementerian yang lain dilaksanakan dalam tempoh lapan hari bermula 16 Oktober lalu, disusuli penggulungan selama empat hari mulai 30 Oktober lepas.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dijangka memberi penjelasan lanjut mengenai beberapa perkara yang diumum ketika membentang Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu.
Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ melibatkan peruntukan RM393.8 bilion. – UTUSAN










