LAPORAN berlakunya kejadian buli melibatkan pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mendapat perhatian meluas daripada masyarakat, bukan hanya kerana kejadian itu tetapi juga kerana reputasi sekolah itu sebagai berprestij.
Kes itu masih dalam siasatan dan tindakan polis dan apabila kejadian buli itu ditularkan dalam media sosial oleh ahli keluarga mangsa, ini menimbulkan rasa kurang senang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu.
PIBG MCKK menyelar tindakan ahli keluarga pelajar terbabit yang menularkan kejadian itu kerana dianggap memberi imej buruk kepada MCKK.
Dalam hal ini, sememangnya kes itu disiasat pihak berkuasa namun adalah tidak wajar jika kes buli hendak disorokkan sekalipun ia melibatkan sekolah berprestij seperti MCKK.
Kejadian buli boleh berlaku di mana-mana sekolah sekalipun tanpa mengira sekolah biasa atau sekolah elit dan tidak wajar disorokkan demi menjaga reputasi sekolah.
Kes seperti itu jangan hendak ‘disapu di bawah permaidani kerana selain perlu mengenakan tidak sewajarnya terhadap pembuli, masyarakat perlu disedarkan tentang bahaya kejadian buli.
Bukan mahu membela keluarga mangsa, namun sudah tentu ada sebab mereka menghebahkan kejadian itu dalam media sosial. Luahan keluarga mangsa perlu diambil perhatian dan tindakan.
Sebagai ahli keluarga mangsa, banyak perkara yang mereka bimbangkan apabila melibatkan kejadian buli ketika anak mereka belajar di situ atau mungkin ada perkara yang mereka tidak puas hati yang menyebabkan mereka meluahkannya dalam media sosial.
Fahami perasaan ahli keluarga mangsa yang mengalami kejadian itu yang sudah pastinya bimbang berterusan berikutan kejadian itu.
Keluarga mangsa juga sudah pasti tiada niat mahu menjejaskan reputasi MCKK kerana mangsa juga belajar di situ.
Mereka mungkin mahu tindakan segera dan hukuman setimpal dikenakan terhadap pembuli supaya menjadi pengajaran kepada yang lain agar kes sama tidak berulang.
Tanpa mengira status anak siapa, anak orang kenamaan atau orang biasa, jika benar melakukan kesalahan buli, tindakan sewajarnya harus dikenakan.
Ketepikan soal reputasi, keadilan perlu diberikan kepada mangsa supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Dalam pada itu, reaksi PIBG MCKK itu mendapat perhatian kerajaan negeri menerusi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Khairudin Abu Hanipah yang berkata, pihak PIBG mempunyai hak-hak ataupun kuasa yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.
Katanya, isu seperti ini tidak sewajarnya spekulasi sendiri kerana jika ada yang buat spekulasi sudah tentu akan wujud pihak yang cuba menyebelahi pihak A atau pihak B. Beliau mahu semua pihak menunggu polis melakukan siasatan dan kalau terbukti, polis akan ambil tindakan yang sewajarnya.-UTUSAN










