ANALISIS: Raja Mohamed Affandi 'pemecah telur' di Terengganu?

ANALISIS: Raja Mohamed Affandi ‘pemecah telur’ di Terengganu?

RAJA Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor calon BN dalam PRK Parlimen Kemaman. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUGAS cukup berat digalas oleh Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk ‘memecah telur’ dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini.

Ini kerana Pas memperoleh kemenangan besar 40-0 apabila menyapu bersih lapan kerusi Parlimen dan 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Lebih mencabar, calon Barisan Nasional (BN) untuk PRK tersebut yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera perlu berdepan figura yang cukup dikenali dan berpengaruh iaitu Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas.

Atas kertas, Pas dijangka mempertahan kerusi Parlimen Kemaman berdasarkan faktor semangat ahli dan penyokong parti itu menerusi perjuangan dalam Perikatan Nasional (PN) yang sememangnya kuat di Terengganu.

Namun ia bukan misi mustahil buat Raja Mohamed Affandi kerana kerusi Parlimen Kemaman sejak kerusi itu dipertandingkan bermula 1959 adalah kubu kuat BN yang menang di situ sebanyak 13 kali, PKR sekali pada 1999 dan dirampas Pas sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Tambahan pula, BN pada PRK Parlimen Kemaman kali ini memilih calon mempunyai rekod lampau yang baik bagi mengelak pertembungan dalaman parti itu di kawasan ini.

Raja Mohamed Affandi sendiri ketika ditemui pada penamaan calon Sabtu lalu menyifatkan beliau sudah sedia kembali ‘berperang’ dan fokusnya hanya satu iaitu untuk menang.

Pada PRU15 lalu, Alias Che Hamid (Pas) menang dengan majoriti 27,179 undi apabila meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru.

Alias berjaya menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said yang meraih 38,535 undi dan dua calon lain iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin yang mendapat 8,340 undi manakala calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rosli Ab. Ghani hanya memperoleh 506 undian.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihanraya Terengganu membatalkan kemenangan Alias pada 26 September lalu.

Kini, segala tumpuan terarah kepada bekas jeneral empat bintang itu sama ada beliau mampu ataupun tidak menjadi ‘giant killer’ bagi memecah dominasi Pas di Terengganu.

Dalam konteks sejarah politik di negeri ini, Datuk Seri Abdul Rahman Bakar digelar ‘giant killer’ setelah dua kali berjaya menewaskan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang pada pilihan raya 1986 dan 2004 yang merupakan kerusi kubu kuat parti tersebut.

Kemaman dahulunya kubu kuat BN sebelum dirampas Pas sejak PRU14 lalu, walaupun ia dilihat agar sukar, namun bukan suatu yang mustahil jika BN merampas semula kawasan itu pada PRK, 2 Disember ini.

Kerusi itu bukan milik Pas dan rakyat khususnya 141,790 orang pemilih berdaftar berhak memilih calon terbaik untuk membela nasib mereka dan membangunkan Parlimen ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN