JELEBU: Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang diyakini masih akan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) berdasarkan khidmat yang telah diberikan wakil rakyat di situ.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, dia tidak gusar akan saingan yang diberikan dua lagi calon di kerusi yang disandangnya itu.
Jalaluddin berkata, pengalaman beliau berkhidmat di kawasan berkenaan sejak sekian lama membuatkannya yakin pengundi sudah mempunyai pertimbangan sendiri dalam menentukan pilihan.
“DUN Pertang ini adalah penggal ketiga saya. Pada pertama 2013, kemudian saya berhenti sekejap disambung oleh sahabat saya. Kemudian kerana saya pergi ke Parlimen, saya sambung semula pada tahun 2022-2023,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Putra, Simpang Durian hari ini.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, sepanjang pengalamannya berkhidmat di Pertang dan Jelebu, masyarakat di kawasan itu mempunyai pandangan yang signifikan terhadap khidmat wakil rakyat.
“Walaupun saya ditentang oleh dua lagi wakil rakyat iaitu calon daripada PH dan calon daripada Bersatu yang kedua-duanya dalam kalangan orang Melayu, itu tidak menjadi kegusaran kepada saya.
“Walaupun saya tidak memandang rendah kemampuan mereka, tetapi saya yakin pengundi saya sudah mempunyai keputusan untuk mereka lakukan pada 1 Ogos nanti,” katanya.
Tambah beliau, pengundi di kawasan itu akan menilai masa depan yang lebih baik serta segala khidmat yang telah dilaksanakan tanpa dipengaruhi sentimen politik tidak sihat.
“Saya yakin kerana pengundi saya memandang masa depan yang lebih baik, menilai segala khidmat yang telah saya lakukan tanpa ada apa-apa sentimen politik yang tidak sihat yang dilakukan oleh mereka sekarang,” katanya. – UTUSAN










