PN beri laluan BN jadi MB jika menang PRN Negeri Sembilan

PN beri laluan BN jadi MB jika menang PRN Negeri Sembilan

JALALUDDIN Alias pada Majlis Sepetang Bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Putra, Jelebu hari ini-UTUSAN/FATIN NORIZATI MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Perikatan Nasional (PN) bersetuju memberikan laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menerajui jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya gabungan kedua-dua parti itu berjaya membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, BN menghargai pendirian pimpinan PN yang membuat deklarasi awal berhubung perkara tersebut.

Katanya, rundingan mengenai calon Menteri Besar dan pembahagian jawatan Exco bagaimanapun belum dibincangkan kerana tumpuan ketika ini adalah memastikan kemenangan terlebih dahulu.

“Kita tidak ada bincang siapa hendak jadi Menteri Besar. Malah, saya ucapkan terima kasih kepada pimpinan PN kerana membuat deklarasi awal untuk menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada UMNO dan BN.

“Kita (BN-PN) tidak ada berbincang siapa calon yang akan jadi Menteri Besar. Malah, kita juga tidak berbincang soal berapa kerusi Exco kerana hasrat kita adalah mencipta kejayaan sebanyak mungkin terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Hari Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Bahagian Jelebu di Felda Pasoh 4 hari ini.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, keutamaan ketika ini adalah membentuk persefahaman kukuh antara BN dan PN bagi memastikan kemenangan sebelum sebarang rundingan mengenai pembahagian jawatan dibuat.

“Hasrat kita adalah mencipta kejayaan sebanyak mungkin terlebih dahulu. Selepas itu barulah kita fikirkan soal jawatan dan kedudukan yang boleh menguatkan kerajaan negeri, bukannya memenuhi kehendak atau nafsu seseorang.

“Kita mahu membentuk pentadbiran yang berkeupayaan mengurus tadbir kerajaan negeri dengan baik. Jika seseorang itu tidak layak memegang sesuatu jawatan, kita tidak akan melantiknya semata-mata untuk memenuhi kuota,” katanya.

Ditanya sama ada beliau antara calon Menteri Besar sekiranya BN-PN berjaya membentuk kerajaan negeri, Jalaluddin berkata, BN mempunyai ramai pemimpin yang berkelayakan untuk dipertimbangkan.

“Calon kita ramai. Kita ada Tok Mat (Mohamad Hasan), Jalaluddin Alias, Sufian Maradzi (calon Seri Menanti) dan ramai lagi. Terpulang kepada Pengerusi BN untuk membuat pilihan.

“Jangan risau, kita ada ramai pemimpin berkelayakan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN