Anak tumbuk ibu dipenjara setahun

Anak tumbuk lengan kiri ibu dipenjara setahun

PEKERJA ladang sawit, Chai Chon Tak ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Teluk Intan, Perak, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN:  Seorang buruh ladang sawit dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah menumbuk lengan kiri ibunya sehingga cedera, di Langkap dekat sini, Isnin lalu.

Chai Chon Tak, 29, mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan ibu kandungnya, Hew Yoke Cheng, 50, di alamat No 2873, dalam bangunan pejabat DAP, Lorong Taman Langkap Jaya, Langkap, kira-kira pukul 3 petang, 27 November lalu.

Dia dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 kanun sama.

Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan manakala Seksyen 326 kanun sama pula membawa hukuman penjara dua kali ganda dari tempoh maksimum pemenjaraan untuk kesalahan di bawah seksyen yang berkaitan.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam F. Faustina di hadapan Majistret T. Ashvinii.

Mengikut fakta kes, tertuduh datang berjumpa ibunya yang ketika itu berada dalam bangunan pejabat DAP Langkap, untuk meminta wang sebanyak RM10, tetapi mangsa enggan memberi wang itu kerana mendakwa anaknya itu mahu menghisap dadah.

Tertuduh kemudian menumbuk lengan kiri ibunya dengan laporan doktor kemudian mengesahkan mangsa mengalami kecederaan tisu lembut.

Ibu tertuduh membuat laporan polis dengan menyatakan kejadian itu sering berlaku dan bimbang perkara tidak baik berlaku kepadanya pada masa hadapan.

Polis menahan tertuduh di tepi jalan Desa Maju Langkap kira-kira pukul 9.30 malam hari yang sama.

Terdahulu, tertuduh yang masih bujang merayu memohon hukuman penjara minimum dari tarikh dia ditangkap.

Izzudin Fakri bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana perbuatan itu dilakukan terhadap ibu kandungnya sendiri di khalayak ramai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya