PUTRAJAYA: Biarpun tidak dinobatkan secara rasmi sebagai ikon murid, namun, penyanyi cilik Orang Asli, Amir Sisi, 12, sudah pun diiktiraf dan kejayaannya diakui oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, KPM secara dasarnya sudah mengiktiraf pencapaian luar biasa diraih anak Orang Asli dari suku kaum Kaum Temiar, Pos Kemar, Gerik, Perak itu.
Beliau berkata, kejayaan memenangi program realiti televisyen The Chosen One itu membuktikan bahawa bakat sebenar seorang murid boleh dicungkil dengan bimbingan yang betul.
“Dia (Amir Sisi) sudah jadi ikon KPM walaupun tidak dinobatkan lagi. Dia secara automatik sudah digambarkan oleh rakyat Malaysia sebagai ikon.
“Kita tidak mahu menobatkan seorang murid itu sebagai ikon secara mutlak sebaliknya kita mahu setiap kebaikan yang ditonjolkan boleh menjadi contoh kepada ramai murid.
“Biar contoh banyak yang lahir dalam sistem pendidikan supaya ia jadi pembakar semangat kepada kumpulan pelajar yang lebih ramai,” katanya ketika ditemui selepas program Bicara Inspirasi Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia di sini, hari ini.
Katanya, bayangkan jika setiap 10,000 sekolah di negara ini berjaya melahirkan satu ikon setiap sekolah maka, ia boleh menjadi pembakar semangat kepada lebih 5 juta murid di seluruh negara.
Pkharuddin berkata, beliau yakin Amir akan menjadi ikon dan idola suatu hari nanti serta sebaris artis terkenal tanah air.
Menurutnya, beliau menyifatkan pencapaian Amir itu sangat luar biasa, malah, ia tidak mustahil bagi anak Orang Asli yang lain termasuk murid lain di seluruh negara jika mendapat bimbingan yang tepat.
“Amir berjaya menonjolkan potensinya yang sebenar hasil bimbingan Ustaz Amirul Fikri dan ustaz itu yang banyak memberi keyakinan sehingga dia muncul juara dalam pertandingan itu,” katanya.
Sebelum ini, Amir Sisi dan jurulatihnya, Putera Muhammad menepati ramalan ramai apabila dinobatkan sebagai juara bagi program realiti televisyen The Chosen One.
Kejayaan itu melakar sejarah apabila Amir menjadi anak Orang Asli pertama yang menjuarai pertandingan nyanyian televisyen kanak-kanak di Malaysia.
Dengan kemenangan ini, Amir telah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000, sebuah trofi berserta sebuah lagu single daripada Rocketfuel Entertainment. -UTUSAN










