Akar umbi Bersatu Kangar desak Abu Bakar lepas jawatan - Utusan Malaysia

Akar umbi Bersatu Kangar desak Abu Bakar lepas jawatan

SEBAHAGIAN akar umbi Bersatu Kangar berkumpul di perkarangan Kompleks DUN, Kangar, Perlis bagi mendesak Abu Bakar Hamzah melepaskan jawatannya selepas terus menerus menyerang pentadbiran kerajaan negeri. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kangar mendesak ketuanya, Abu Bakar Hamzah melepaskan jawatan kerana sudah tidak mendapat kepercayaan ahli parti di kawasan berkenaan.

Mereka turut mengecam keras tindakan Abu Bakar yang juga merupakan Pengerusi Bersatu negeri kerana terus menyerang pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Malah, lebih 2,000 ahli dari 12 cawangan kawasan itu juga menyokong Mohd Shukri selain mahu Abu Bakar segera melepaskan jawatan sebelum keadaan lebih huru-hara dalam Bersatu Kangar dan negeri.

Bekas ahli jawatankuasa Bersatu Bahagian Kangar, Muhamad Rauf Abdul Aziz berkata, pengisytiharan ‘perang’ Abu Bakar terhadap pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Mohd. Shukri merupakan pendirian peribadi beliau dan bukannya mewakili parti itu.

“Dari segi akar umbi Bersatu Bahagian Kangar, kami menyokong penuh kepimpinan Mohd. Shukri bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) yang dilantik baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di hadapan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai ketidakpuasan hati Abu Bakar berhubung pelantikan Exco kerajaan negeri di mana nama beliau sekali lagi tidak dipilih bagi memegang jawatan berkenaan.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis itu turut mendakwa ada pemimpin dalam Bersatu cuba menikam beliau dari belakang sehingga tidak terpilih sebagai Exco pada penggal ini.

Dalam pada itu, Rauf berkata, kenyataan Abu Bakar yang menghentam pentadbiran Mohd. Shukri sebelum ini juga adalah sangat tidak wajar dan mampu mengundang perpecahan di dalam PN.

“Apa yang kami nyatakan hari ini adalah untuk kebaikan Bersatu dan PN bagi menggelakkan perpecahan yang lebih teruk berlaku,” katanya.

Sementara itu, bekas Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Kangar, Mohd Nasir Ismail pula berkata, akar umbi parti itu berharap agar kepimpinan pusat dapat melakukan siasatan terperinci di bahagian berkenaan apabila semua ahli jawatankuasa yang dipilih sebelum ini telah dipecat.

Katanya, pihaknya juga pernah menyerahkan memorandum bagi membolehkan siasatan tersebut dijalankan untuk melihat situasi sebenar yang berlaku di sini.

“Kita juga ada mendengar wujudnya perancangan bagi melakukan sabotaj dalam senarai nama ahli cawangan menjelang pemilihan parti tidak lama lagi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya