Ahmad Samsuri tidak terjejas serangan peribadi 

Ahmad Samsuri tidak terjejas serangan peribadi 

AHMAD Samsuri (kanan) beramah mesra dengan peniaga ikan ketika kempen PRK Kemaman di Pasar Binjai, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/ NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengakui beliau tidak tergugat dengan serangan peribadi dan tohmahan yang dilemparkan parti lawan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Beliau berkata, Pas tidak terjejas dengan serangan tersebut, malah jentera parti akan terus bekerja kuat bagi memastikan kerusi Parlimen itu dapat dipertahankan.

“Tak apa lah, kita biarkanlah (serangan peribadi). Kita tak tergugat dengan apa yang diserang itu, yang penting kita fokus buat kerja dan kita akan kerja lebih kuat InsyaAllah. ‘No worries’ (tiada kerisauan). 

“Tohmahan macam saya pun tengok dalam bentuk fitnah, maklumat yang tidak tepat, tak apa lah jentera kita akan cuba tangani,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni peniaga dan pengunjung Pasar Binjai, dekat sini, hari ini. 

Ditanya mengenai gerak kerja kempennya, Ahli Dewan Undangan Negeri Ru Rendang itu berkata, beliau mempunyai cara kempen yang tersendiri. 

“Kita ada cara tersendiri buat kerja. Apa yang penting kita boleh capai kemenangan.  Saya tak mengubah apa-apa (cara kempen). Sebelum inipun macam tu, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang pun dua kali (bertanding). Cara kerja saya, tidak dalam bentuk kempen besar-besar tetapi ‘personal touch’ (sentuhan peribadi),” katanya. 

Ditanya kebimbangan sekiranya berlaku banjir ketika hari pengundian 2 Disember ini, Ahmad Samsuri berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memutuskan langkah yang akan diambil. 

“Kita tak pasti lagi apa berlaku dua hari bulan nanti, pada waktu ini kita sedang tangani banjir (di daerah lain).  Jentera-jentera pun kita dah susun semaksima mungkin.  

“Kalau banjir hari mengundi, SPR sudah maklum bahawa mereka ada kaedah untuk tangani. Bagaimanapun, kita percaya pengundi ‘hardcore’ (tegar) dan pengundi atas pagar akan keluar  mengundi,” katanya. 

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan Ahmad Samsuri bakal dicabar bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mewakili Barisan Nasional (BN). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN