Pemandu rempuh dua kenderaan polis ditahan bersama 53 pil yaba

Pemandu rempuh dua kenderaan polis ditahan bersama 53 pil yaba

RAMPASAN pil kuda dan wang tunai yang dilakukan oleh PGA dalam serbuan di Kampung Semuba, Chetok, Pasir Mas, Kelantan. -I HSAN PGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Tindakan seorang lelaki merempuh dua kenderaan polis bagi meloloskan diri daripada pemeriksaan membawa padah apabila dia diberkas bersama 53 biji pil yaba dalam satu operasi di Kampung Semuba Chetok, di sini semalam.

Suspek berusia 28 tahun itu ditahan dalam Operasi Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan anggota Strike Force Kompeni B Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, kira-kira pukul 6.30 petang.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata,, bertindak atas maklumat risikan, anggota PGA membuat pemerhatian di Jalan Pasir Mas-Tanah Merah sebelum mengesan sebuah Perodua Myvi berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota kemudian mengarahkan pemandu kenderaan itu berhenti untuk pemeriksaan selepas memperkenal diri sebagai pegawai polis.

“Bagaimanapun, suspek bertindak memintas kenderaan pasukan dan memecut laju menghala ke arah Tanah Merah sebelum dikejar anggota PGA. Ketika memasuki Kampung Semuba Chetok, suspek merempuh sebuah kenderaan pasukan yang berada di hadapan sebelum mengundurkan keretanya dan melanggar sebuah lagi kenderaan polis di belakang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Radzi berkata, suspek kemudian keluar dari kenderaan dan cuba melarikan diri, namun ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota bertugas.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek dan kenderaan yang dipandunya menemukan 53 biji pil yaba, sebiji pil Epam, sebuah telefon bimbit iPhone 12 Pro Max, sebuah beg silang serta wang tunai berjumlah RM375.

“Turut merampas Perodua Myvi yang digunakan suspek dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM32,015. Siasatan awal mendapati, suspek mengaku memperoleh bekalan dadah daripada seorang lelaki dikenali sebagai Lani yang dipercayai tinggal di Kampung Limbat, Kota Bharu,”katanya.

Menurut Ahmad Radzi, suspek juga mengaku merempuh kedua-dua kenderaan pasukan kerana terdesak untuk mengelak dirinya ditahan pihak berkuasa.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN