IPOH: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim kembali menyertai Amanah selepas enam tahun meninggalkan parti itu.
Penyertaan semula bekas Ketua Pemuda Amanah Perak itu diumumkan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi ketika Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Tambun 2026, di sini hari ini.
Hasnul Zulkarnain berkata, beliau telah mengemukakan permohonan untuk menyertai semula Amanah pada tahun lalu, namun permohonan itu hanya dipertimbangkan selepas mendapat sokongan daripada kepimpinan parti di peringkat negeri.
Menurut beliau, namanya kemudian dibawa dan disyorkan dalam Mesyuarat Pengurusan dan Pimpinan Nasional Amanah pada 18 Jun lalu sebelum keahliannya diluluskan semula oleh parti tersebut.
“Saya merayu agar nama saya dapat dipertimbangkan dan alhamdulillah mendapat sokongan Datuk Asmuni di mana beliau telah mengesyorkan nama saya dalam mesyuarat berkenaan.
“Alhamdulillah, Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional pada dasarnya meluluskan keahlian saya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, keputusan Amanah menerima semula keanggotaannya membuktikan keyakinan dan kepercayaan parti terhadap kemampuan serta sumbangan yang masih mampu diberikannya untuk perjuangan parti.
Malah katanya, keserasian, semangat perjuangan dan hubungan erat dengan rakan-rakan dalam Amanah menjadi faktor utama beliau kembali menyertai parti itu.
“Saya lahir daripada parti Amanah dan antara yang terlibat dari awal. Jadi, jiwa dan semangat saya sebenarnya berada bersama kawan-kawan dalam parti.
“Apabila diterima semula, saya yakin hubungan yang telah lama terbina bersama rakan-rakan seperjuangan akan membolehkan kami bekerja dengan lebih kuat dan berkesan demi memperkukuhkan Amanah pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan bertanding pada Pilhan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), Hasnul Zulkarnain menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang hasrat untuk menawarkan diri sebagai calon.
“Saya tidak ada niat untuk bertanding dan saya memahami status saya adalah ahli yang telah diterima semula.
“Buat masa ini saya mahu memberi sumbangan kepada parti dan mengembalikan kepercayaan yang telah diberikan,” katanya.
Pada 9 Mac 2020, Hasnul Zulkarnain bersama dua ADUN DAP mengumumkan keluar parti menjadi wakil rakyat bebas selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang di Perak berikutan pembentukan Perikatan Nasional (PN).
Bekas Ketua Pemuda Amanah itu kemudiannya mengambil keputusan menyertai Bersatu pada 29 Julai 2020 namun ‘jodoh’ Hasnul Zulkarnain bersama Bersatu tidak panjang setelah beliau dipecat parti itu pada Disember tahun sama.
Pemecatan itu difahamkan berpunca daripada tindakan beliau menyokong Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak baharu bagi menggantikan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. – UTUSAN










