Ahli Parlimen PN tak kelihatan, Dewan Rakyat lengang 

Ahli Parlimen PN tak kelihatan, Dewan Rakyat lengang 

MESYUARAT Dewan Rakyat lengang tanpa kehadiran ahli Parlimen pembangkang pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan hari ini. -GAMBAR JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Dewan Rakyat pagi ini kelihatan lengang tanpa kehadiran ahli-ahli Parlimen pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan yang sedang berlangsung. 

Difahamkan, kesemua wakil rakyat pembangkang hadir bagi membantah petisyen dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Sebelum itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberitahu membenarkan ahli-ahli Parlimen bertanya tiga soalan tambahan daripada setiap jawapan lisan diberi menteri. 

Beliau sebelum itu menghentikan seketika soalan lisan Datuk R. Ramanan [PH-Sungai Buloh] kerana mendapati ramai ahli Parlimen yang mengemukakan soalan tidak hadir di Dewan Rakyat.

Ramanan sebelum itu mahu mendapatkan penjelasan Menteri Pendidikan tentang proses terperinci kerajaan dalam mempercepat pembukaan sekolah yang telah siap dibina namun belum beroperasi.

“Sebelum menteri jawab, oleh kerana ramai ahli Parlimen tidak hadir, saya akan buka peluang kepada setiap jawapan yang dijawab ini untuk tiga soalan tambahan,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa [BN-Tampin] kemudian mencelah dan mendakwa tiada seorang pun ahli-ahli Parlimen pembangkang hadir di Dewan Rakyat. 

“Bukan ramai tidak hadir, seorang ahli Parlimen pembangkang pun tidak ada, inilah perangai pembangkang,” katanya.

Media hari ini melaporkan, lebih 1,000 orang membanjiri perkarangan Istana Kehakiman, di sini dalam menyertai ‘Himpunan Selamatkan Syariah’ yang dipercayai dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang.

Perhimpunan itu diadakan demi mempertahan mahkamah syariah susulan Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh hari ini bagi menyambung pendengaran petisyen seorang peguam dan anaknya. 

Pihak pempetisyen itu mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen berkenaan terbatal dan tidak sah.

Mereka yang hadir berkumpul sebelum pukul 9 pagi tadi dan ada peserta datang dari jauh seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Turut kelihatan pada perhimpunan itu ialah beberapa pemimpin PN antaranya Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Selain itu turut kelihatan ialah Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin.

Pada 8 November lalu, PN telah memaklumkan akan menganjurkan siri perhimpunan pada 16, 18 dan 20 November (hari ini) bagi membantah petisyen dua individu yang mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan Iki Putra mencabar keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berhubung kesalahan seks luar tabii.

Mahkamah membuat keputusan enakmen kesalahan syariah yang termasuk dalam senarai Persekutuan, secara automatik adalah terbatal.

Dalam kes berkenaan, Nik Elin Zurina Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberi anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam sahaja.

Takiyuddin sebelum ini mendakwa, sekiranya Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Nik Elin Zurina, ia sekali gus akan bermakna semua enakmen jenayah syariah di 14 negeri dianggap batal. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya