Affandi perah keringat berkempen, Samsuri santai

Affandi perah keringat berkempen, Samsuri santai

RAJA Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memayungkan seorang penduduk ketika hadir bertemu dengan jentera pilihan raya di PDM Kampung Chabang, Kerteh, Kemaman, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dijangka ‘panas’ walaupun berada pada musim tengkujuh apabila berlaku pertembungan sengit dua penjuru melibatkan musuh tradisi antara Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Penampilan dua calon hebat antara bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar ditampilkan Pas cukup menarik ibarat ‘buku bertemu ruas’.

Seramai 141,790 pengundi di Parlimen itu akan membuat pilihan calon yang paling layak antara dua tokoh tersebut pada 2 Disember ini.

Selepas selesai proses penamaan calon kelmarin, jentera pilihan raya kedua-dua parti mula mengerakkan kempen untuk memikat pengundi bagi memastikan calon mereka memenangi PRK tersebut.

Pada peringkat ‘gear pertama’ kempen, kedua-dua calon berkenaan mula menemui pengundi di kawasan Parlimen itu, namun calon BN, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor didapati lebih agresif berbanding Ahmad Samsuri.

Raja Mohamed Affandi dilihat bertemu peneroka di kawasan Felda berbanding Ahmad Samsuri yang dilihat lebih ‘santai’ bertemu pengundi di sekitar bandar Chukai.

Keadaan tersebut berlaku apabila calon BN itu terpaksa ‘memerah keringat’ untuk mendekati seramai mungkin pengundi memandangkan tokoh yang dibesarkan dan bersekolah di Kemaman itu lebih banyak berada di luar negeri kerana berkhidmat dalam ATM lebih 40 tahun.

Namun atas semangat perwira yang masih kental dimiliki Raja Mohamed Affandi, cabaran itu bukan menjadi halangan besar untuk beliau bertempur di medan kempen dalam tempoh 14 hari ini.

Selain itu, tokoh tersebut juga mendapat sokongan padu daripada jentera BN dari seluruh negara bagi memastikan kerusi yang disandang Pas itu dapat dirampas semula dalam PRK ini.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas pula sememangnya dikenali seluruh rakyat terutamanya di Terengganu setelah menerajui dan mentadbir negeri ‘telaga minyak’ sejak 2018.

Pada masa sama, majoriti yang dimenangi calon Pas, Che Alias Abd. Rahman dalam Pilihan Umum Ke-15 (PRU15) lalu juga selesa dengan 27,179 undi, menunjukkan Pas cukup kebal dan tidak mudah ditembusi BN.

PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada 26 September lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN