376 rumah nelayan daif dibaik pulih, dibina baharu - Utusan Malaysia

376 rumah nelayan daif dibaik pulih, dibina baharu

MOHAMAD Sabu (kanan) meninjau nelayan yang menjual hasil tangkapan laut di Kompleks LKIM, Kuala Kemaman, Kemaman, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Sebanyak 376 rumah nelayan yang daif di seluruh negara dibaik pulih dan dibina baharu yang menelan belanja RM10 juta pada tahun ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jumlah rumah yang dibaik pulih adalah 328 unit yang melibatkan peruntukan RM6.08 juta dan dibina baharu pula 48 unit berharga RM3.92 juta.

Menurutnya, rumah nelayan tersebut dibaik pulih dan dibina baharu untuk memberi keselesaan kepada mereka tinggal di kediaman yang lebih baik.

Bagaimanapun, katanya, pihak kementerian mendapati masih banyak rumah nelayan yang daif dan perlu dibaik pulih dengan segera.

“Kalau kita lihat kepada perkampungan nelayan kita dapat rasakan ekonomi mereka di tahap yang agak rendah.

“Bila kita lihat kepada rumah mereka, sama ada rumah itu dibuat secara bersendirian atau pun dibeli, kita nampak ia memerlukan penambahbaikan.

“Sebab itu kita peruntukan untuk membaiki rumah nelayan sebanyak RM10 juta, namun sebenarnya bagi saya jumlah itu masih belum mencukupi tetapi buat masa ini, kita melihat mana yang perlu didahulukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Santai Madani Bersama Nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kemaman di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad memberitahu, KPKM akan berbincang dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) mengatasi masalah jurang harga ikan di bandar-bandar utama yang berpunca daripada orang tengah.

Katanya, walaupun harga ikan dapat dikurangkan kelak, nelayan seharusnya mendapat harga yang setimpal dengan hasil laut ditangkap.

“Apa yang saya lihat, harga ikan kerisi di sini dijual RM10 untuk tiga kilogram, berbanding di kawasan bandar contohnya, di Pasar Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, harga yang dijual adalah sekitar RM12 untuk satu kilogram ikan berkenaan.

“Ertinya di sini peranan orang tengah masih lagi kuat. Jadi kita harap LKIM dan NEKMAT dapat memainkan peranan masing-masing bagaimana nak buat supaya harga di sini setimpal dengan dijual pada pengguna di bandar.

“Mungkin pihak berkaitan boleh bincang, sama ada sediakan lori untuk penghantaran di kawasan bandar dan jika ada keperluan pengangkutan dan penambahan peruntukan, saya akan berbincang dengan Kementerian Kewangan,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya