DUNGUN: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menerima kira-kira 200 permohonan menerusi program Rumah Mesra Rakyat 2.0 (RMR 2.0) di seluruh negara sejak mula diperkenalkan bulan lalu.
Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata, RMR 2.0 memberi peluang kepada pemohon yang layak untuk memiliki kediaman tanpa menunggu giliran yang lama seperti pemohon RMR 1.0.
“RMR 2.0 mendapat sambutan yang menggalakkan walaupun hanya hebahan sahaja dilakukan dan belum dilancarkan secara rasmi, Alhamdulillah sambutannya menggalakkan.
“Ketika ini, permohonan untuk RMR 1.0 telah mencecah lebih 90,000 permohonan dan RMR 2.0 ini merupakan inisiatif bagi memberi peluang kepada mereka yang layak memiliki kediaman lebih cepat tanpa menunggu giliran lama,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci RMR kepada tiga penerima di Paka, hari ini.
Husam berkata, menerusi RMR 2.0, pemohon yang layak berpeluang memiliki kediaman dalam tempoh kurang daripada tiga bulan.
“Apa yang membezakan RMR 1.0 dengan RMR 2.0 ialah, RMR 1.0 dibayar secara bulanan sebanyak RM316 sebulan selama 16 tahun secara ansuran serta perlu mencagar tanah mereka kepada SPNB bagi tempoh itu.
“Bagi RMR 2.0 pula, mereka perlu membayar tunai kepada SPNB sebanyak sebanyak RM55,000 selepas subsidi namun tidak perlu mencagar tanah,” katanya.
Husam berkata, syarat kelayakan permohonan bagi RMR 1.0 dan RMR 2.0 adalah sama, antaranya pendapatan seisi rumah tidak melebihi RM5,000 sebulan, pemohon belum memiliki rumah pertama dan pemohon layak mendapat subsidi kerajaan sebanyak RM20,000 untuk setiap unit rumah.
Menurutnya, pada tahun ini, pihaknya menyasarkan untuk membina 3,500 unit RMR 1.0 dan 3,000 unit RMR 2.0 dengan peruntukan subsidi lebih RM560 juta.
Husam berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 2002 hingga Mac 2024, SPNB berjaya membina sebanyak 64,657 unit RMR di seluruh negara. – UTUSAN










