TUMPAT: Jambatan di Kampung Baru Nelayan yang menjadi jalan penghubung kepada lebih 500 penduduk di sini dikhuatiri runtuh susulan hakisan tebing sejak dua minggu lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati bongkah batu yang sebelum ini bertindak sebagai benteng kepada hakisan tersebut telah runtuh.
Wakil penduduk, Zakaria Abu Bakar, 73, berkata, sekiranya langkah segera tidak diambil mereka bimbang masalah itu akan bertambah parah ekoran musim tengkujuh dijangka bermula tidak lama lagi.
“Apabila musim tengkujuh, arus air akan bertukar menjadi deras dan laju sekali gus mempercepatkan lagi hakisan tanah.
“Lebih merisaukan lagi, jambatan ini turut digunakan oleh kenderaan berat seperti lori. Jadi tidak mustahil ia boleh mengancam keselamatan pengguna kerana strukturnya sudah tidak kukuh,” katanya.
Mohd. Saiful Abdul Kadir, 50, pula memberitahu, jambatan tersebut turut digunakan oleh murid dan pelajar untuk ke sekolah.
Katanya, mereka bimbang jika jambatan ini runtuh ia memberikan kesan tidak baik kepada mereka.
“Jalan alternatif ada, tetapi agak jauh berbanding laluan ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd. Adanan Hassan berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah itu.
Katanya, beliau sudah berbincang dengan pihak berkaitan untuk segera mengatasi masalah ini.-UTUSAN










