49 pelajar alami keracunan makanan - Utusan Malaysia

49 pelajar alami keracunan makanan

DANIEL GOOI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seramai 49 pelajar masing-masing 21 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Convent Dato Keramat dan 28 pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Convent Dato Keramat mengalami gejala keracunan makanan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi berkata, terdahulu Jabatan Kesihatan negeri melalui Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut telah menerima dua notifikasi kes keracunan makanan daripada hospital swasta di Pulau Pinang melibatkan pelajar SMJKC Convent Dato Kramat dan SJKC Convent Dato Kramat.

Sehubungan itu, tambah beliau, siasatan telah dilakukan ke atas dua kes terbabit dan mendapati pelajar kedua-dua sekolah SJKC dan SMJKC menggunakan kantin yang sama.

“Jumlah terdedah seramai 903 orang dan jumlah yang mengalami gejala keracunan makanan adalah seramai 49 orang iaitu 21 kes dari SJKC dan 28 kes dari SMJKC,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, punca keracunan disyaki daripada nasi lemak, namun ia masih dalam siasatan.

“Terdapat tiga kes telah dimasukkan ke hospital dan telah dibenarkan keluar dari hospital semalam.

“Seramai 14 kes telah mendapatkan rawatan di klinik swasta dan hanya dirawat sebagai pesakit luar manakala baki 32 pelajar lagi yang bergejala ringan tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan, kesemua kes telah sembuh dan dalam keadaan sihat,” katanya.

Tambah beliau, pemeriksaan kantin sekolah dan dapur pembekal makanan terbabit telah dijalankan dan markah pemeriksaan kantin sekolah adalah memuaskan.

”Bagaimanapun, terdapat beberapa penambahbaikan dari segi kebersihan yang perlu dilakukan oleh pihak kantin sekolah dan juga pembekal makanan terlibat.

“Kesemua warga sekolah yang terdedah telah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan awal jika mempunyai sebarang gejala keracunan makanan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pendidikan kesihatan tentang keselamatan makanan dan kebersihan tangan telah diberi kepada semua pekerja kantin, guru dan pelajar sekolah termasuk pengendali makanan yang terlibat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya