44 syarikat menang Anugerah HRD 2023 cemerlang dalam pembangunan modal insan

44 syarikat dan individu menang Anugerah HRD 2023 cemerlang dalam pembangunan modal insan

FADILLAH Yusof (tengah) dan V. Sivakumar bersama 44 pemenang Anugerah HRD 2023 pada majlis yang diadakan di The Majestic Hotel, malam semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 44 syarikat dan individu diberi pengiktirafan sebagai pemenang Anugerah Pembangunan Sumber Manusia 2023 (Anugerah HRD 2023) selepas cemerlang dalam membina pembangunan modal insan.

Anugerah anjuran Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) itu mempunyai tiga kategori berbeza iaitu Anugerah Menteri Sumber Manusia, Anugerah HRD Corp dan Anugerah Kecemerlangan yang mengiktiraf syarikat, individu, jurulatih serta penyedia latihan yang cemerlang dalam membangunkan modal insan.

Majlis Anugerah HRD dianjurkan sejak tahun 2001 bagi meraikan kecemerlangan dan inovasi dalam bidang pembangunan sumber manusia selain mengiktiraf majikan, penyedia latihan serta jurulatih yang menepati objektif.

Para pemenang dalam setiap kategori dinilai oleh 14 panel hakim terkemuka daripada senarai panjang peserta yang mengalami peningkatan sebanyak 200 peratus berbanding dengan edisi sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Anugerah HRD 2023 merupakan satu bentuk sambutan yang meraikan kemajuan negara dalam pembangunan dan pemerkasaan tenaga kerja.

“Saya berasa bangga apabila dapat melihat banyak organisasi tempatan telah mempamerkan dedikasi yang luar biasa dalam mengubah perniagaan dan tenaga kerja mereka demi menyesuaikan diri dengan perubahan yang pesat, memasuki pasaran baharu, mencipta produk dan penyelesaian baharu.

“Keupayaan transformasi ini mengubah krisis Covid-19 kepada antara peluang terbesar yang memperkasakan organisasi untuk berinovasi dan memenuhi permintaan pasaran global yang semakin berkembang,” katanya pada majlis anugerah itu yang diadakan di The Majestic Hotel, di sini.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar yang turut hadir, berkata, anugerah itu merupakan bukti komitmen HRD Corp untuk mengiktiraf serta menggalakkan kecemerlangan di tempat kerja dengan menekankan kepentingan memupuk budaya pembelajaran, pembangunan, dan peningkatan berterusan.

Roslan Ahmad

Sementara itu, Ketua Eksekutif (CEO) serantau bahagian Utara dan Timur di KPJ Healthcare Bhd. (KPJ), Roslan Ahmad berkata, walaupun KJP Perlis baru ditubuhkan pada 2018, beliau bersyukur dengan kemenangan itu.

“Sebagai majikan, kita banyak buat penglibatan bersama kakitangan seperti mengadakan himpunan bulanan, meraikan hari jadi masing-masing dan pelbagai lagi sebab kita mahu rapatkan hubungan antara kami.

“Kami tergolong dalam industri perkhidmatan jadi keterampilan, tutur cakap dan perkhidmatan yang diberikan oleh kakitangan perlu sentiasa berada di tahap terbaik dan untuk itu kami pastikan mereka diberi latihan bagi meningkatkan kemahiran,” katanya.

Norashikin Ismail

Pengarah sumber manusia di Synthomer Sdn Bhd (Synthomer), Datuk Norashikin Ismail berkata, pihaknya turut menitikberatkan kesejahteraan dan pembangunan pekerjanya.

“Jadi saya mengambil inisiatif untuk menyampaikan apa yang dimahukan oleh syarikat, kita pastikan kami di jabatan sumber manusia bukan buat kerja hakiki sahaja tetapi turut mencipta nilai untuk semua pekerja.

“Saya percaya pengiktirafan daripada HRD Corp ini akan dapat membantu syarikat dan menjadi kebangaan semua pekerja apabila ia membantu mencipta penjenamaan yang positif,” katanya.

Teh Sook Ling

Sependapat dengan itu, Pengarah Eksekutif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC), Teh Sook Ling berkata, anugerah yang diterima oleh pihaknya akan membantu syarikat lebih maju ke hadapan dan meningkatkan motivasi syarikat untuk berusaha.

“Kita akan terus meningkatkan kemahiran pekerja kami dan kerana saya percaya kepada strategi pembangunan modal insan, kalau orang kami sendiri tidak kuat maka sukar untuk syarikat berikan servis terbaik.

“Kami juga akan terus berinovasi untuk mencari cara-cara pembelajaran yang baharu dan melihat permintaan baharu daripada pihak industri supaya kami akan terus relevan kepada industri,” jelasnya.

Edwin Engbat A. Gara

Pengarah Gara International Sdn Bhd., Edwin Engbat A. Gara berkata, walaupun sudah berpuluh tahun berkecimpung di dalam industri namun anugerah yang diberikan oleh HRD Corp merupakan pengiktirafan pertama diperolehnya.

“Terima kasih kepada HRD Corp kerana banyak memberi peluang kepada saya untuk dapatkan anugerah ini, terima kasih juga kepada pelanggan saya dan juga kerajaan negeri yang membantu.

“Saya rasa ini merupakan hasil kerja kuat, disiplin dan hasrat untuk membantu orang. Syarikat saya ditubuhkan kerana ingin menyelesaikan masalah orang lain serta menambah nilai dalam kehidupan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, HRD Corp turut memberi satu anugerah kepada seorang filantropi dan usahawan daripada Qatar yang menghidap sindrom regresi kaudal, Ghanim Al Muftah.

Anugerah tersebut sebagai tanda HRD Corp mengiktiraf komitmen pemberdayaan serta menjadi sumber inspirasi kepada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya