PETALING JAYA: Kira-kira 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza kini sedang berdepan dengan musim sejuk yang mencecah 16 darjah Celsius khususnya pada waktu malam, dalam keadaan kedaifan ketika gencatan senjata dijangka berkuat kuasa hari ini.
Sehingga hari ini, terdapat kira-kira 1.5 juta rakyat Palestin berstatus pelarian selepas mereka meninggalkan kediaman masing-masing akibat menjadi sasaran rejim Zionis sejak 7 Oktober lalu khususnya yang menetap di utara Semenanjung Gaza.
Bagaimanapun, kira-kira 800,000 lagi yang enggan meninggalkan kediaman mereka turut hidup serba kekurangan dengan ketiadaan bekalan makanan, air bersih, elektrik dan lain-lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Hubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Gaza, Ahmed Abu Ayesh An Najjar berkata, rakyat Palestin tidak mempunyai sebarang persiapan untuk menghadapi musim sejuk memandangkan akses kepada bantuan kemanusiaan disekat rejim Zionis.
Menurutnya, bekalan untuk persiapan menghadapi musim sejuk di perusahaan rakyat tempatan juga adalah terhad.
“Rakyat Palestin kekurangan segala-galanya. Mereka meninggalkan kediaman masing-masing tanpa membawa apa-apa hanya sehelai sepinggang.
“Mereka sangat memerlukan pakaian musim sejuk, selimut, khemah dan segala-gala yang diperlukan untuk orang-orang kehilangan tempat tinggal.
“Waktu malam di sini sangat sejuk dan hujan menyebabkan kesejukan melampau,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengulas mengenai kesepakatan gencatan senjata antara Hamas dengan Israel, Abu Ayesh berkata, sehingga semalam serangan daripada rejim Zionis terhadap orang awam masih lagi berterusan,
Bahkan sehingga kini kematian membabitkan rakyat Palestin sudah mencecah 14,532 orang.
Menurutnya, jumlah itu tidak mencerminkan angka sebenar kematian yang dicatatkan di Semenanjung Gaza.
Ini berikutan seramai 7,000 lagi dilaporkan hilang dipercayai meninggal dunia di bawah runtuhan kediaman akibat bedilan bom rejim Zionis.
“Lebih 35,000 mengalami kecederaan dan sebahagian yang parah mungkin tidak dapat diselamat kerana hospital di sini tidak memiliki kelengkapan asas cukup untuk merawat mereka,” katanya.
Beliau berkata, rumah flat lima tingkat milik keluarganya iaitu An-Najjar juga sekali lagi menjadi sasaran rejim Zionis namun tiada sesiapa mengalami kecederaan atau kehilangan nyawa kerana sudah berpindah sejak 7 November lalu.
Menurutnya, kebanyakan rakyat Palestin yang meninggalkan kediaman mereka kini berlindung di fasiliti seperti hospital, sekolah atau pusat pelarian.
“Ada juga yang berlindung di rumah saudara mara namun terpaksa tinggal bersesak sehinggakan 30 hingga 40 orang berkongsi ruangan kecil untuk teruskan kehidupan,” katanya. – UTUSAN










