157 kes tangkapan khalwat di Terengganu tahun ini - Utusan Malaysia

157 kes tangkapan khalwat di Terengganu tahun ini

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Sebanyak 157 kes tangkapan khalwat direkodkan di seluruh Terengganu bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kes tertinggi ialah 36 kes di Kemaman diikuti Marang (31), Dungun (26) dan Kuala Terengganu (23).

Menurutnya, daerah lain iaitu Besut pula merekodkan 18 tangkapan, Kuala Nerus (10), Hulu Terengganu (sembilan) dan Setiu (empat).

“Sepanjang tahun lalu pula, sebanyak 173 kes direkodkan dengan tangkapan tertinggi ialah di daerah Kemaman iaitu 44 kes diikuti Marang (36), Dungun (29) dan Kuala Terengganu (24).

“Daerah Besut pula merekodkan tangkapan 16 kes diikuti Setiu (10), Kuala Nerus (lapan) dan Hulu Terengganu (enam),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Khazan Che Mat (Bersatu-Seberang Takir) yang ingin tahu jumlah kes tangkapan khalwat bagi tahun 2022 dan 2023 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Menjawab soalan tambahan Khazan mengenai kaedah tangkap pula, Muhammad Khalil berkata, seramai 101 penguatkuasa syariah di seluruh Terengganu telah menjalankan pemantauan secara berkala antara tiga atau empat kali seminggu.

“Langkah proaktif yang diambil ialah mengadakan operasi bersepadu dengan beberapa agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan di beberapa lokasi yang dikenalpasti.

“Antara lokasi pemantauan untuk mencegah perbuatan tidak bermoral ini ialah sekitar Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Kuala Ibai, Tok Jembal dan kawasan-kawasan pantai.

“Tanggungjawab Amar Makruf Nahi Mungkar ini adalah peranan bersama   kerajaan dan rakyat keseluruhannya supaya dapat keberkatan daripada Allah SWT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya