KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 lori dan trak bantuan kemanusiaan dihantar ke sempadan Rafah bagi membantu meringankan beban warga Palestin terjejas perang di Gaza.
Bantuan tersebut dihantar Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa (IKAF) dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) bagi membantu meringankan beban warga Palestin yang terjejas dengan perang di Gaza.
Lori dan trak bantuan yang dihantar melalui Misi Kemanusiaan Insani 4 Palestin (i4P) IKAF itu membawa bantuan kecemasan termasuk 30 tan air minuman, 5,000 selimut tebal dan 1,000 tilam.
Sukarelawan Misi 14P diketuai Pengerusi IKAF, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya turut memeriksa barang-barang bantuan itu yang dihantar dari Kaherah ke Gudang ERC di Ismailia, sebelum dihantar ke sempadan Rafah.
“Kami ambil kesempatan ini untuk mengucapkan banyak terima kasih kepada kerajaan Mesir dan khususnya Egypt Red Crescent iaitu Bulan Sabit Merah Mesir yang mana badan berautoriti untuk membawa apa juga sumbangan sampai ke Gaza, Insha-Allah.
“Kami berharap dipermudahkan segala urusan dipermudahkan segala perjalanan agar saudara-saudara kita di Gaza akan dapat bantuan ini insha-Allah mudah-mudahan,” katanya di Ismailia, hari ini.
Pasukan sukarelawan i4P yang tiba di Kaherah sejak Isnin lalu turut menghantar bantuan ubat-ubatan ke Gaza.
Terdahulu, sukarelawan i4P turut mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif ERC, Dr Ramy El Nazer dan wakil Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin sebelum memutuskan jenis dan jumlah bantuan kecemasan disalurkan ke Gaza.
Gaza kini dikepung dan diserang rejim zionis Israel yang menyaksikan 2.3 juta penduduknya dalam keadaan kritikal dan kebuluran ketika gencatan senjata masih belum dicapai sejak perang bermula 7 Oktober lalu.-UTUSAN