PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mengesan 1,280 buah kenderaan perdagangan yang dipinda spesifikasi bahan bakar enjin diesel biasa kepada bahan bakar enjin diesel hijau untuk mendapat cukai jalan murah 50 peratus.
Pengesanan kenderaan itu susulan penahanan 10 individu termasuk lima penguat kuasa di beberapa negeri yang menerima rasuah antara RM500 sehingga RM1,000 daripada pemilik-pemilik kenderaan atau orang tengah untuk menukar butiran kenderaan menggunakan diesel biasa kepada kenderaan menggunakan diesel hijau.
Aktiviti sindiket itu menyebabkan kerajaan mengalami kerugian kira-kira RM12.73 juta sejak tahun 2018 sehingga 2022.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, daripada 1,280 kenderaan, sebanyak 926 buah kenderaan perdagangan diubah oleh anggota penguat kuasa di Sabah, diikuti Johor (247 kenderaan); Perak (61 kenderaan) dan Selangor (46 kenderaan).
Jumlah berkenaan tersebut dikesan selepas beberapa pemilik kenderaan yang dikenal pasti diambil keterangan oleh SPRM.
Bagaimanapun, kata sumber, jumlah sebenar semua kenderaan yang dipinda maklumatnya belum diketahui sehingga siasatan selesai.
“Siasatan SPRM masih berjalan selain proses untuk sitaan kesemua kenderaan itu juga masih dilakukan SPRM.
“Dijangka beberapa tangkapan akan dilaksanakan lagi oleh SPRM melibatkan penguat kuasa terlibat dan orang awam,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, sumber itu berkata, lima anggota penguat kuasa antara sembilan individu yang direman SPRM bagi membantu siasatan itu.
Sumber itu berkata, Majistret Jenayah di Ipoh perak telah membenarkan reman selama dua hari terhadap seorang pemilik syarikat dan seorang anggota penguatkuasa gred 19 bermula hari ini hingga esok.
Manakala, reman selama tujuh hari turut diperoleh SPRM terhadap seorang anggota penguat kuasa gred 19 di Sabah bagi membantu siasatan sama.
“Di Selangor pula, perintah reman dikeluarkan oleh Majistret untuk menahan reman dua anggota penguat kuasa gred 22 dan gred 29 selama empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat ini. Manakala seorang lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM.
“Bagi tangkapan di Johor, perintah reman selama tujuh hari terhadap seorang penguat kuasa gred 19 dan seorang pengurus syarikat. Selain reman tiga hari dibenarkan ke atas dua lagi individu terdiri seorang pemilik syarikat dan Eksekutif Akaun,” katanya.
Kata sumber itu, kesemua mereka direman bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Semalam, SPRM melancarkan operasi khas dengan menahan sepuluh individu termasuk lima anggota penguatkuasa iaitu empat individu di Johor, Selangor (tiga individu); Perak (dua individu) dan Sabah (1) selepas disyaki meminta rasuah sebagai balasan untuk meminda dan mengubah butiran spesifikasi enjin kenderaan perdagangan.
Mereka disyaki meminta dan menerima wang rasuah antara RM500 sehingga RM1,000 daripada pemilik-pemilik kenderaan dan orang tengah sebagai balasan bagi menukar butiran daripada kenderaan diesel biasa kepada kenderaan diesel hijau di dalam sistem tanpa melalui prosedur ditetapkan.
Terdapat dua modus operandi (MO) dipercayai dilakukan oleh sindiket ini untuk mendapatkan status diesel hijau pada kenderaan mereka iaitu secara pindaan data kenderaan atau pembetulan butir-butir kenderaan.
Sindiket ini dipercayai bergerak aktif sekitar tahun 2019 hingga 2022 dan nilai wang rasuah dianggarkan sebanyak kira-kira RM1.28 juta untuk lima orang anggota penguat kuasa yang terlibat terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.
Manakala ketirisan hasil kepada kerajaan yang terkumpul akibat daripada aktiviti sindiket ini dianggarkan sekitar kira-kira RM12.73 juta sejak tahun 2018 sehingga 2022.
Pemilik kenderaan perdagangan yang mahukan pengurangan cukai jalan sebanyak 50 peratus tanpa mematuhi peraturan dan prosedur sah dipercayai akan menghubungi ejen untuk membuat pindaan ataupun pembetulan terhadap maklumat kenderaan mereka.
Ejen pula akan menghubungi anggota penguat kuasa dan akan memberikan nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat tanpa mengikut prosedur ditetapkan. – UTUSAN










