SHAH ALAM: Penyanyi, Datuk Aishah, tidak menafikan masih wujud sikap pilih kasih dalam kalangan penggiat seni yang menganggap bakat luar lebih baik daripada anak seni di Malaysia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Wan Aishah Wan Ariffin, 58, mendakwa, sepanjang berkecimpung dalam bidang nyanyian di Malaysia, artis luar memperolehi pelbagai kelebihan seperti dibayar dengan harga tinggi serta tempat tinggal mewah sepanjang program.
“Sejak bergelar penyanyi, setahu saya memang artis luar akan peroleh kelebihan seperti dibayar tinggi, tempat tinggal suite dan pendapatan lain selepas program berakhir.
“Tapi itu juga terpulang kepada pengurusan artis tersebut dan juga pengurusan di Malaysia jika sanggup bayar.
“Sikap pilih kasih terhadap artis tempatan memang sudah lama berlaku kerana orang kita tidak yakin untuk sokong artis sendiri,” katanya.
Penyanyi Bahtera Merdeka itu turut terkilan kerana penyanyi di Malaysia harus mencipta nama di luar negara terlebih dahulu sebelum bakatnya dihargai di tanah air sendiri.
“Ramai yang masih berfikir bakat yang datang dari negara luar lebih baik daripada artis tempatan. Ia tidak semestinya betul sebab kita ada ramai anak seni tempatan yang bagus namun tidak mendapat sokongan.
“Seolah-olah kita kena pergi luar negara dahulu dan buktikan sesuatu untuk akhirnya dihargai di tanah air sendiri.
“Saya dulu bernyanyi di New Zealand sebagai Aishah and The Fan Club barulah orang buka mata,” katanya yang menjadi rakyat Malaysia pertama yang tersenarai dalam carta Billboard, Amerika Syarikat.
Menurut Aishah, berbanding Indonesia, rakyat Malaysia tidak memiliki jati diri yang kuat untuk mempertahankan artis tempatan berbanding negara seberang.-UTUSAN










