KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara bagi Agensi Persekutuan 2021 mendapati wujud kelemahan dalam bayaran Pembekalan Perabot dan Kelengkapan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Parcel 2C Taman LTAT, Bukit Jalil.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, ia membabitkan kerja tambahan berjumlah RM280,000 yang sudah diluluskan selepas tamat tempoh kontrak dan kerja tambahan dilaksanakan sebelum kelulusan diberikan.
Katanya, semakan audit mendapati Arahan Perubahan Kerja (APK) berjumlah RM280,000 diluluskan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada 23 November 2021, iaitu selepas tamat tempoh kontrak pada 1 Oktober 2021.
“APK itu membabitkan skop tambahan pembekalan dan kerja pemasangan dua unit cermin muka bagi 2,000 unit kediaman yang tidak dinyatakan di dalam kontrak asal.
“Semakan lanjut mendapati skop kerja tambahan ini tidak dilaksanakan secara sebut harga berasingan sebaliknya dibuat melalui APK walaupun kontrak sudah tamat.
“Pihak Audit turut mendapati kerja itu dilaksanakan pada 20 November 2021, iaitu sebelum kelulusan kerja tambahan diberikan,” katanya dalam Laporan Ketua Audit 2021 yang dibentang di Dewan Rakyat.
Beliau menjelaskan perkara itu berlaku kerana LTAT lebih mengutamakan keperluan pembekalan perabot bagi kediaman anggota angkatan tentera yang perlu disiapkan dengan segera.
Katanya, Pegawai Penguasa LTAT mengambil masa selama empat bulan untuk memperoleh kelulusan kerja tambahan daripada Ketua Eksekutif LTAT.
“Walaupun APK itu sudah dipersetujui dalam Mesyuarat Rundingan Harga bersama Kementerian Pertahanan pada 22 Julai 2021, namun Pegawai Penguasa hanya memperoleh kelulusan Ketua Eksekutif LTAT pada 23 November 2021, iaitu selepas tamat tempoh kuat kuasa kontrak,” katanya.
Untuk itu, Jabatan Audit mengesyor LTAT melaksana penambahbaikan dan mengambil tindakan seperti Ketua Eksekutif perlu lebih bertanggungjawab untuk memastikan peraturan kewangan dipatuhi sewajarnya dan pembekalan dilaksanakan sebelum tamat tempoh kontrak.
Katanya, LTAT perlu melaksana pemantauan yang dijalankan Pegawai Penguasa terhadap syarat kontrak hendaklah dibuat dengan rapi bagi memastikan pentadbiran kontrak yang teratur.
Katanya, secara keseluruhannya, LTAT sudah berjaya melaksanakan penjualan Parcel 2C Taman LTAT, Bukit Jalil kepada Kementerian Pertahanan dengan nilai jualan RM560 juta untuk dijadikan sebagai RKAT.
“Parcel 2C yang dilengkapi dengan perabot dan kelengkapan sudah berjaya disiapkan dan mula diduduki oleh anggota angkatan tentera pada 18 November 2021.
“Namun, terdapat kelemahan dalam bayaran Pembekalan Perabot dan Kelengkapan RKAT di Parcel 2C Taman LTAT, Bukit Jalil.
“Diakui pelaksanaan projek dibuat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun LTAT perlu lebih teliti bagi memastikan pembekalan dapat diselesaikan sebelum tamat tempoh kontrak,” katanya. – UTUSAN










