SERI KEMBANGAN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyampaikan faedah dua skimnya kepada waris bekas jurufoto Kumpulan Utusan, Noor Azlina Jaafar yang meninggal dunia pada 17 Oktober lalu.
Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO, John Riba Marin berkata, waris kepada Allahyarhamah Noor Azlina menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sehingga RM2,000 yang dibayar sekali gus dan pencen penakat berjumlah RM2,567 setiap bulan bermula November ini.
Menurutnya, Perkeso memberi dua faedah tersebut kepada waris Noor Azlina selepas mendapati beliau memenuhi syarat kelayakan caruman.
“Bayaran pencen ini akan diagihkan mengikut syer kepada orang tanggungan iaitu suami arwah untuk sepanjang hayatnya dan tiga lagi anak sehingga berusia 21 tahun atau selama melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama.
“Semoga dengan faedah daripada PERKESO ini dapat menampung kelangsungan hidup suami dan anak arwah,” katanya dalam sidang media selepas menyertai sesi Ziarah Prihatin Perkeso di kediaman arwah di Balakong, hari ini.
Noor Azlina dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada usia 45 tahun dan meninggalkan tiga orang anak iaitu Nur Iman Zahra Muhammad Basir, 13, Nur Iman Damia,11, dan Muhd Daniel Iman, 8 tahun.
Arwah dan Muhammad Basir yang juga bekas wartawan merupakan antara 800 lebih bekas pekerja Kumpulan Utusan yang diberhentikan selepas syarikat itu diisytihar bankrap pada 2019.
Selepas diberhentikan kerja, Noor Azlina menerima faedah Elaun Mencari Pekerjaan (Perkeso) menerusi Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) bagi tempoh selama dua bulan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM5,135.
Mengulas lanjut, John Riba berkata, walaupun sudah tiga tahun Noor Azlina diberhentikan kerja, namun, arwah tetap mendapat faedah kerana memenuhi syarat caruman dan ia membuktikkan kepentingan mempunyai caruman Perkeso.
“Saya ingin sampaikan kepada masyarakat, majikan, pekerja dan mereka yang bekerja sendiri bahawa Perkeso ini penting. Asasnya adalah kalau ada kematian, sakit serta kehilangan pekerjaan, carilah Perkeso.
“Jika bekerja dalam sektor formal, maka, sudah menjadi kewajiban majikan mendaftar dan mencarum supaya pekerja layak mendapat faedah. Contohnya seperti hari ini, walaupun Noor Azlina sudah diberhentikan kerja, beliau tetap layak mendapat faedah,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Basir berkata, beliau berterima kasih kepada Perkeso kerana memberi bantuan kepada keluarganya selepas kematian arwah.
“Saya nak ucap terima kasih kepada pihak Perkeso yang sangat proaktif, datang rumah, tolong saya isi borang dan sebagainya. Jadi, ini kurangkan beban saya untuk ke pejabat Perkeso. Kalau ikutkan, kami suami isteri sudah banyak mengambil manfaat daripada Perkeso,” ujarnya.-UTUSAN










