Warga emas menangis ketakutan ketika banjir  

Warga emas menangis ketakutan ketika banjir  

BADARIAH Ali Abdullah yang menggunakan kerusi roda menjadi mangsa banjir ketika ditemui di Kampung Baharu, Kampung Lalang, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Seorang warga emas menangis ketakutan ketika diusung keluar dari rumahnya yang ditenggelami banjir di Kampung Baharu, Kampung Lalang, di sini semalam.

Badariah Ali Abdullah, 84, berkata, keadaan malam yang gelap disulami deruan kuat air Sungai Ketil semakin membuatkan dia takut meskipun sedang dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). 

“Saya menangis kerana terlalu takut, gementar seluruh badan ketika diusung keluar dari rumah apabila melihat air sungai terlalu deras. Saya bimbang sekiranya terjatuh ke dalam banjir.

“Saya dan suami, Che Noor Man, 85, diselamatkan oleh APM setelah rumah yang didiami bersama anak dan cucu dinaiki air hampir satu meter,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, dia tidak dapat berjalan kerana mengalami sakit lutut dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Sementara itu, Che Noor berkata, dia dan isteri kembali ke rumahnya dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Siong pagi ini, setelah banjir kembali surut.

“Kejadian semalam adalah yang paling teruk pada tahun ini selepas tiga kali rumah kami dinaiki air,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohammad Azarul Azan Mohd. Zahari, 29, berkata, rumahnya dinaiki air kira-kira pukul 9 malam dan ahli keluarganya mula dipindahkan sejam kemudian.

“Tahun ini sahaja sudah empat kali rumah kami dinaiki air, apabila hujan tidak berhenti sejak pukul 3 petang semalam, kami sekeluarga berjaga-jaga dan terus meletakkan barangan penting dan alatan elektrik ke tempat tinggi.

“Saya tidak berpindah bagi memastikan keadaan rumah selamat, hanya ibu dan adik-adik saya yang berpindah,” katanya. 

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Abd. Aziz berkata, perkhemahan unit beruniform yang disertai 80 pelajar di Tapak Perkhemahan Lubuk Badak, Ulu Legong terpaksa ditamatkan lebih awal ekoran cuaca tidak menentu.

Katanya, kesemua peserta terdiri daripada ahli Tunas Kadet Remaja Sekolah, Persatuan Bulan Sabit Merah, Pergerakan Puteri Islam Malaysia dan Pengakap yang tiba di tapak perkhemahan itu tengah hari semalam.

“Ekoran tapak perkhemahan mereka dinaiki air, APM bersama polis, RELA dan orang awam memindahkan semua peserta ke PPS SK Siong. Mereka kini sudah dibawa pulang ke Kota Setar dengan menaiki dua buah bas kira-kira pukul 10.30 pagi ini,” katanya.

Mohd. Faizol turut menasihati mana-mana pihak yang ingin menganjurkan aktiviti perkhemahan di tepi sungai atau di mana sahaja agar mengambil kira keadaan semasa, tempat dan cuaca yang tidak menentu pada waktu sekarang. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya