UMNO selar sikap hipokrit negara terhadap isu Palestin

UMNO selar sikap hipokrit negara terhadap isu Palestin

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO menyelar sikap hipokrit negara yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dan kedaulatan rakyat mempertahankan tanah air sendiri seperti di Ukraine, namun menghalalkan kezaliman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin kerana menjaga hak kedaulatan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya mengesa seluruh negara dan masyarakat antarabangsa berpegang prinsip keamanan dan kemanusian seperti Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar wajib menyatakan pendirian tegas dan memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin.

Katanya, UMNO juga mendesak masyarakat dunia untuk bersatu padu dan bersama-sama di atas satu suara bagi mempertahankan kedaulatan Palestin dan menghulurkan segera bantuan kemanusian ke negara itu di atas dasar kemanusian dan hak asasi.

“UMNO mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas dan kejam Zionis Israel terhadap rakyat Palestin yang telah mengorbankan nyawa manusia yang tidak berdosa termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Kekejaman Israel yang berterusan menyerang Palestin termasuk usaha sistematik mengusir mereka dari tanah air sendiri perlu dijenayahkan oleh masyarakat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO mendukung penuh pendirian kerajaan Malaysia dalam mengutuk tindakan kejam yang tidak berperikemanusian Zionis dan tidak akan sesekali menormalisasi hubungan diplomatik dengan negara haram penjajah Israel.

Katanya, UMNO merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berjaya membawa usul khas di Parlimen bagi menzahirkan solidariti seluruh ahli-ahli Parlimen tanpa mengira ideologi politik dan membawa suara rasmi rakyat Malaysia bersama dengan penduduk Palestin yang kini sedang ditindas dengan kejam oleh rejim Zionis.

“UMNO menyokong penuh inisiatif Perdana Menteri yang menggerakkan tabung kemanusian bagi membantu rakyat Palestin. Peruntukan awal RM10 juta daripada kerajaan Malaysia dan sasaran RM100 juta kutipan turut akan didukung oleh UMNO.

“Justeru UMNO akan mengaktifkan semula Tabung Muafakat Palestin bagi dihantar sendiri secara terus ke Gaza dan kutipan derma ini akan diuruskan oleh Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai tanda komitmen seluruh ahli UMNO bersolidariti dan sejiwa bersama Palestin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya