5 Soalan
MUKADIMAH
MUKTAMAR Tahunan Pas Kali Ke-69 kali ini menyaksikan Pas menumpukan untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu.
Malah, Ketua Penerangan Pas, KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, AHMAD FADHLULLAH ADNAN menyifatkan, Pas boleh bertolak ansur dengan apa sahaja permintaan bukan Melayu asalkan ia bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Komen Muktamar kali ini?
Muktamar pada kali ini tenang. Kita boleh katakan ini Muktamar kita menyambut kemenangan jentera parti yang telah bertungkus lumus memenangkan Pas dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan pilihan raya negeri (PRN) enam negeri serta bekerja baru-baru ini untuk pilihan raya kecil (PRK). Walaupun kita tidak diberikan kemenangan lagi tetapi alhamdulillah dari sudut moralnya, gelombang orang Melayu yang menggantikan UMNO dengan Pas itu berlaku dalam PRK tersebut.
Kelemahan tarik sokongan bukan Melayu antara aspek perlu diperbaiki, apa yang masih kurang?
Kita nampak dengan orang bukan Melayu ini (adalah soal) komunikasi sebab maklumat yang mereka dapat itu mungkin tidak sama. Keduanya kita memahami golongan bukan Melayu ini adalah golongan yang minoriti, jadi pastinya mereka akan memperjuangkan seboleh mungkin apa yang mereka mahukan dalam negara yang majoritinya orang Melayu.
Cuma Pas ini mudah, kita akan memperjuangkan semua kaum berteraskan, pertamanya, kepada keadilan Islam, ini perkara yang tidak ada pada parti lain. Kedua, demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Maknanya apa yang ada dalam perlembagaan itu yang kita buat, jadi kita tidak akan terperangkap dengan elemen 3R (isu agama, raja, kaum) sebab mereka yang bermain 3R ini adalah mereka yang bercakap bukan pada dasar Perlembagaan. Sedangkan Pas bercakap mempertahankan agama, bangsa, institusi diraja berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Apa strategi perlu diambil?
Walau apa pun kawan-kawan kita bukan Melayu ini mahukan keputusan. Boleh buat dialog dengan mereka untuk berikan kesedaran dan penerangan, tetapi sampai satu tahap mereka mahukan keputusan dan mereka mahukan apa yang mereka demand itu dapat. Tetapi kita kena ingat, apa-apa demand kita boleh bertolak ansur selagi mana bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pimpinan Pas dan PN dilihat yakin dan katakan pimpinan perlu bersedia kembali menerajui Kerajaan Persekutuan tidak lama lagi, komen?
Kita sebagai pembangkang menjadi pembangkang yang konstruktif. Maknanya kita beraksi dalam Dewan, membawa semua isu berlandaskan portfolio dan menjadi semak imbang kepada kerajaan. Adapun menukar kerajaan secara demokrasi dibenarkan oleh Perlembagaan, jadi kita akan berusaha melalui saluran demokrasi Perlembagaan untuk menukar kerajaan. Sama ada ia berlaku atau tidak, usaha tetap berjalan daripada masa ke semasa.
PRU16 menjadi antara topik utama pembahas muktamar kali ini, bukankah terlalu awal?
Saya amat bangga dengan pembahas yang mempunyai daya fikir jauh yang sepatutnya dikongsi bersama oleh semua jentera dan itulah yang akan dirancang oleh Tuan Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dan kepimpinan baharu di mana kita akan lebih fokus kepada persiapan menghadapi PRU16.
Ia sebenarnya tidak lama, sekejap saja empat tahun ini dan kemungkinan besar kita pun tidak tahu Datuk Seri Anwar Ibrahim akan buat pilihan raya lebih awal sebab Sabah dan Sarawak akan pilihan raya (negeri) lebih awal dalam jangka masa dua tahun setengah daripada sekarang, jadi apakah mungkin dibuat pilihan raya bersekali? Jadi perkara-perkara ini lebih baik kita buat persiapan awal daripada kita tidak buat langsung. – UTUSAN










