PUTRAJAYA: Isu kekurangan beras tempatan dapat diatasi jika pelbagai agensi di
bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memanfaatkan tujuh teknologi yang diperkenal Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
MARDI memperkenal teknologi-teknologi tersebut bagi meningkatkan pendapatan petani dan menjamin sekuriti makanan.
Tujuh teknologi tersebut adalah Varieti Padi MARDI, Pakej Lestari Padi MARDI, Baja RealStrong N Bio Booster dan Pakej Pengurusan Penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB).
Selain itu ialah Teknologi Kawalan Padi Angin, Sistem Amaran Awal (EWS) serangga perosak benah perang, dan Sistem Penentuan Indeks Perataan Tanah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, melalui penggunaan teknologi yang betul dan tepat, ia memberi impak kepada pengeluaran padi seterusnya meningkatkan penghasilan beras putih tempatan.
Menurut beliau, projek khas penggunaan teknologi-teknologi ini pada masa ini dijalankan di tiga lokasi iaitu di Kampung Lahar Kemeling, Kodiang, Kedah dan Ladang Merdeka Ismail Mulong, Kelantan masing-masing berkeluasan lima hektar dan di Tali Air 2 Ban 3, Sungai Burong, Selangor, di atas tanah berkeluasan lapan hektar.
“Penggunaan varieti padi MR297 dipercayai dapat memberikan hasil tuaian baik dan mempunyai kerintangan tinggi terhadap penyakit karah.
“Antara ciri-ciri MR297 adalah matang sekitar 110-115 hari, mempunyai potensi hasil yang tinggi antara 8-10 tan metrik per hektar di kawasan-kawasan yang subur tahan rebah dan berat seribu biji yang tinggi serta toleran kepada kemarau sederhana selama 30 hari,” katanya di sini.
Mohamad Zabawi berkata, MARDI menyediakan Manual Teknologi Penanaman Padi Lestari untuk membantu petani melalui penyediaan tanah yang rapi, penggunaan kadar benih optimum, kawalan perosak dan penyakit yang berkesan dan penggunaan baja tambahan selain baja subsidi yang diberi kerajaan.
Beliau berkata, MARDI turut menggalakkan penggunaan Baja RealStrong N Bio Booster yang memberi kesan positif terhadap sifat kimia tanah dan populasi mikroorganisma bermanfaat tanah yang menyebabkan beberapa komponen hasil seperti bilangan tangkai per meter persegi dan peratusan biji penuh akan meningkat.
Menurut beliau, Pakej Pengurusan Penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB) adalah untuk kawalan dan pencegahan penyakit BPB dalam penanaman padi menerusi integrasi kaedah rawatan benih dan semburan secara foliar pada peringkat pokok matang.
“Penyakit ini telah disahkan kehadirannya di Malaysia sejak 2017 yang boleh menyebabkan kehilangan hasil yang ketara sehingga 75 peratus dan menjejaskan kualiti pengilangan beras.
“Pakej ini membantu merencat pertumbuhan bakteria Burkholderia glumae pada permukaan benih seterusnya berupaya mengurangkan kadar insiden penyakit BPB di lapangan sehingga 50 peratus tanpa penjejasan kadar percambahan benih padi yang ketara,” katanya.
Kata beliau, penggunaan teknologi kawalan padi angin untuk Amalan Sistem Tabur Terus Basah, WRFree® adalah kaedah baharu untuk mengawal padi angin dalam amalan sistem tabur terus basah dengan lebih berkesan.
Katanya, WRFree® melalui teknik penggunaan racun rumpai pra-cambah diubah suai agar populasi biji benih padi angin dalam tanah dapat dikurangkan.
Pada masa sama, katanya teknologi Sistem Amaran Awal (EWS) serangga perosak benah perang merupakan teknologi digunakan bagi memantau populasi benah perang sebelum serangan yang teruk berlaku pada tanaman padi.
Katanya, kelebihan tenologi itu adalah berpotensi menggantikan aktiviti pemantauan secara manual yang menggunakan tenaga buruh dengan tindakan kawalan lebih berkesan serta meningkatkan kecekapan pengesanan wabak serangan sehingga 50 peratus sebelum kehilangan hasil lebih teruk.
Menurut Zabawi, teknologi Sistem Penentuan Indeks Perataan Tanah secara automatik pula bagi menghasilkan pemetaan tanah digital yang digunakan untuk menabur benih padi secara kadar boleh ubah.
Katanya, sistem itu membantu petani mendapatkan maklumat sebenar perataan tanah sawah bagi memastikan penapakan tanaman yang sekata dan menjamin pertumbuhan pokok yang seragam. – UTUSAN











