TikTok Shop bunuh peniaga tempatan - Utusan Malaysia

TikTok Shop bunuh peniaga tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WANITA antara golongan penting yang menjadi keutamaan dan mendapat perhatian kerajaan pada Belanjawan 2024 dibentangkan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Buktinya, bagi menggalakkan peniaga kecil khususnya dalam bidang makanan untuk berniaga di rumah, kerajaan bersetuju menyediakan dana RM40 juta bagi melaksanakan program Shop Malaysia Online.

Inisiatif itu disambut baik Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN), Norhimah Aziz yang menyifatkan ia berupaya membantu peniaga kecil yang kebanyakannya terdiri daripada wanita, menceburi kemahiran yang boleh membantu mereka menjana pendapatan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu memikirkan mekanisme terbaik supaya urusan perniagaan menerusi transaksi secara dalam talian berlangsung secara adil
supaya tidak membebankan peniaga dan pengguna.

“Sudah tentu kos penghantaran oleh perkhidmatan e-hailing yang dikenakan, boleh menyebabkan produk jualan meningkat.

“Cadangan itu bagus tetapi apakah inisiatif lain yang disediakan. Adakah kerajaan akan memberikan geran untuk penambahbaikan kedai? Kita perlu melihat perincian seterusnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau turut optimis dengan segmen itu kerana makanan adalah keutamaan rakyat di negara ini.

Sekalipun berlaku turun naik harga, makanan adalah keperluan dan pengguna tetap mencari sumbernya.

“Cuma pihak kerajaan perlu bantu untuk mengawal harga barang asas supaya peniaga tidak menaikkan harga terlalu mahal serta memastikan golongan peniaga online atau offline boleh terus hidup.

“Implikasinya adalah pada pembeli, kalau harga mahal sudah tentu tiada pembeli. Kita perlu seimbangkan situasi ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berharap inisiatif tersebut mendapat sokongan daripada semua pihak serta persaingan daripada TikTok Shop yang turut perlu diperhalusi.

“Ramai risau mengenai trend perniagaan secara online di platform TikTok yang boleh ‘membunuh’ peniaga tempatan kerana mereka cenderung ‘membuang harga’ bagi menarik pembeli.

“Sudah tentu pelanggan pilih produk murah walaupun barang yang diterima kadang-kadang tidak menepati kehendak.

“Apabila berlaku situasi pembuangan harga, peniaga di luar termasuk yang menjalankan perniagaan secara bersemuka, mempunyai kedai, kiosk atau pasar malam akan terjejas teruk,” jelasnya.

MASALAH BERULANG

Bagi menyokong fungsi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM100 juta bagi membantu golongan ibu tunggal dan miskin melalui penyediaan modal perniagaan kecil-kecilan.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal (Witus), Sheilla Tukimin melahirkan kebimbangan sekiranya masalah sama berulang terhadap peminjam yang gagal melunaskan komitmen bayaran.

“Ini yang berlaku realitinya, masalah sama berulang-ulang pada setiap tahun. Buat pinjaman, bayar dan akhirnya ‘terduduk’. Apabila meminjam perlu ada komitmen untuk membayar semula secara mingguan.

“Contohnya, kalau berniaga hanya dapat RM30 ke RM50 seminggu, sudah tentu bayaran balik pinjaman akan tersangkut dari minggu ke minggu. Mereka kemudian lari sebab tak boleh bayar.

“Akhirnya akan menyusahkan team sebab konsepnya ahli kumpulan yang perlu menanggung hutang ahli-ahli lain yang culas,” kongsinya.

Usahawan wanita yang baru memulakan perniagaan sememangnya memerlukan modal permulaan. Namun, pada masa sama, kata Sheila, saluran pinjaman itu juga perlu diperkemaskan.

Beliau mencadangkan agar konsep pinjaman itu disalurkan kepada organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar, yang terbukti berkeupayaan melaksanakan program dalam membantu ahli persatuan atau komuniti mereka.

Selain itu, katanya, golongan peniaga kecil khususnya wanita dan ibu tunggal perlu diberi peluang menjalankan perniagaan mereka di mana-mana premis dan pejabat kementerian.

“Contohnya, semua NGO usahawan wanita berdaftar yang baru berniaga diberi peluang sekali atau dua bulan sekali untuk membuka reruai. Agensi kerajaan sangat banyak di Putrajaya. Contohnya beri peluang kepada Witus selama sebulan, bulan depan NGO lain pula.

“Sekurangnya-kurangnya ia dapat menampung pendapatan mereka sekiranya perniagaan di luar tidak begitu menguntungkan.

“Ruang dan peluang itu perlu diberikan kepada mereka dan bukan kepada syarikat besar yang sudah mantap daripada aspek pemasaran,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya