PETALING JAYA: Tekanan ‘panglima politik’ (warlord) di Skudai atau Iskandar Puteri yang mahukan kerusi tersebut untuk diri mereka sendiri atau individu yang rapat antara faktor wujudnya cadangan supaya Ahli Dewan Undangan (ADUN) Skudai Marina Ibrahim berpindah ke kawasan lain.
Bekas Ahli Parlimen Bangi Dr. Ong Kian Ming mendakwa,cadangan tersebut tidak seharusnya ditafsirkan sebagai sesuatu berunsur jahat daripada barisan kepimpinan parti.
“Saya tidak rasa Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching mempunyai sebarang niat jahat terhadap Marina apabila mencadangkan beliau berpindah ke kerusi DUN Tiram yang sukar untuk bertanding di sana.
“Saya mengesyaki ada faktor lain yang bermain termasuk ‘warlord’ tertentu di Skudai atau Iskandar Puteri yang mahukan kerusi Skudai tersebut untuk diri mereka sendiri atau seseorang yang rapat dengan mereka,” katanya di Facebook hari ini.
Pada 31 Mei lalu, Marina mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding semula dan berundur sepenuhnya daripada arena politik tanah air selepas mengadakan perbincangan dengan keluarga dan pasukannya.
Turut tular ketika itu satu surat mendakwa meminta Marina bertanding di kerusi DUN Tiram dalam PRN Johor akan datang dan bukan kekal di kerusi DUN Skudai yang disandangnya.
Surat berkenaan turut mendakwa jawatan pengerusi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan diberikan kepada Marina sekiranya tewas di kerusi berkenaan.
Dalam pada itu, Kian Ming turut mendedahkan bahawa Marina pada asalnya bukan calon pilihan pertama parti untuk diletakkan di kerusi DUN Skudai.
Menurut beliau, perancangan awal DAP adalah untuk menempatkan Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan di kerusi Parlimen Iskandar Puteri bagi menggantikan veteran parti, Lim Kit Siang yang memutuskan untuk bersara daripada politik barisan hadapan.
Katanya, langkah itu bagaimanapun menimbulkan cabaran dari sudut strategi pemilihan calon kerana parti sukar untuk meletakkan dua calon Melayu bagi kerusi Parlimen dan DUN dalam kawasan sama.
“Ia pastinya sukar buat parti untuk meletakkan dua calon Melayu, satu bagi Parlimen dan satu lagi bagi DUN, di kawasan yang sama.
“Namun, apabila pucuk pimpinan parti mengetahui hasrat saya untuk mengosongkan kerusi Parlimen Bangi bagi memberi laluan kepada Syahredzan, peluang untuk meletakkan Marina di Skudai mula terbuka,” katanya.-UTUSAN







