Marina nafi merajuk, takut masuk kawasan majoriti Melayu

Marina nafi merajuk, takut masuk kawasan majoriti Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim menafikan dakwaan kononnya beliau takut memasuki atau bekerja di kawasan majoriti Melayu.

Marina berkata, dakwaan itu tidak benar kerana beliau sudah mula turun membuat kerja di kawasan Layang-Layang sejak 2021 sebelum akhirnya diletakkan sebagai calon di Skudai pada saat akhir.

Katanya, pada ketika itu beliau masih baharu dalam politik dan diarahkan membuat persediaan di kawasan kampung majoriti Melayu yang ketika itu dijangka menyaksikan pertembungan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Marina penakut masuk kawasan Melayu? Pada 2021 aku dah masuk buat kerja di Layang-Layang. Masa itu dijangka aku akan bertanding di sana. Siap buka pusat komuniti. Masih tersergam papan tanda kalau korang ke Layang-Layang.

“Seorang budak segar tiada pengalaman, mentah dalam politik, dihantar buat kerja untuk lawan siapa masa itu? Datuk Onn Hafiz. Siapa beliau masa itu? Exco Pelancongan, Belia dan Sukan,” katanya dalam kenyatan, hari ini.

Marina berkata, pengalamannya berkempen di kawasan majoriti Melayu bukan perkara baharu, malah beliau pernah menjadi pengurus kempen calon di Mersing pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, beliau juga pernah menjadi pengurus kempen calon di Mersing yang mempunyai 76 peratus pengundi Melayu.

“Kalau betul nak kembangkan parti di kawasan Melayu, dah lama selepas itu diletakkan penyelaras. Akar umbi di sana suarakan isu ini berkali-kali. Dan sekarang mana penyelarasnya untuk kembangkan kerusi?” katanya.

Marina menafikan dakwaan kononnya keputusan beliau untuk mengundurkan diri daripada politik dibuat kerana merajuk atau mahu berada di tempat selesa.

Sebaliknya, beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan sukarelawan yang selama ini menjadi tulang belakang kepada gerak kerjanya.

“Mereka lain bangsa, lain agama, tapi kenapa aku sangat hormati mereka bila nak ambil keputusan ini? Sebab mereka tahu sebab keputusan aku dan mereka berada dengan aku dalam semua keadaan.

“Aku seorang perempuan Melayu yang pernah berkempen dan diludah ke muka oleh seorang pakcik. Kau rasa aku kisah ke?” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN