Tiga mangsa scammer kerugian RM1.4 juta

Tiga mangsa sindiket penipuan dalam talian kerugian RM1.4 juta

KAMARUL ZAMAN MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga warganegara tempatan yang menjadi mangsa scammer membuat laporan polis mendakwa mengalami kerugian berjumlah RM1.4 juta akibat diperdaya sindiket pelaburan dan phone scam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ketiga-tiga mangsa yang berusia antara 36 hingga 46 tahun membuat laporan tersebut, kelmarin dan semalam.

Menurut beliau, kesemua mangsa mengalami kerugian sebanyak RM637,163; RM451,887 dan RM322,270 masing-masing.

“Mangsa pertama, wanita tempatan ditipu seorang lelaki warga asing melalui aplikasi Tan Tan yang menawarkan pelaburan emas dan mata wang Amerika Syarikat melalui aplikasi OKGold. Pengadu dijanjikan keuntungan 11 peratus daripada modal dikeluarkan. Akibat terpedaya, mangsa membuat 78 transaksi ke sebuah akaun bank berdaftar di Public Bank.

“Bagi mangsa kedua, seorang lelaki tempatan terpedaya dengan skim pelaburan matawang digital melalui laman web Yomaex Crypto Market. Mangsa melakukan 19 transaksi kepada 16 akaun berbeza setelah meyakini skim tersebut menawarkan pulangan pelaburan lumayan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Kamarul Zaman, mangsa ketiga pula melibatkan seorang wanita tempatan yang menerima panggilan seorang lelaki mendakwa mangsa mempunyai bungkusan daripada Pos Laju yang berada di Alor Setar dalam perjalanan menuju ke Kuching.

“Panggilan itu turut disambung kepada seorang pegawai polis yang meminta mangsa mengirimkan wang bagi membantu siasatan polis melibatkan mangsa dimana pegawai itu memaklumkan wang tersebut akan dipulangkan semula setelah siasatan selesai.

“Akibat terpedaya, mangsa membuat 15 transaksi ke-11 akaun bank berbeza yang diberikan scammer berkenaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Kamarul Zaman menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya dalam urusan melibatkan transaksi kewangan.

“Mereka juga diminta mengikuti laman sosial rasmi Polis Johor untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung modus operandi digunakan sindiket penipuan dalam mendapatkan keuntungan mudah.

“Manakala bagi tujuan menyekat sebarang transaksi meragukan melibatkan akaun bank, orang ramai boleh National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN