Tiga beruang matahari 'ganggu' penduduk Kampung Jerek

Tiga beruang matahari ‘ganggu’ penduduk Kampung Jerek

SABARIAH Mohamed Sayuti (kiri) menunjukkan bekas cakaran kuku beruang matahari yang membuat sarang di atas pokok rambutan di Kampung Jerek, Gua Musang, Kelantan.-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 3,000 penduduk di Kampung Jerek di sini hidup dalam ketakutan apabila tiga ekor beruang matahari dikesan berkeliaran di kawasan kampung itu, termasuk membuat habitat di atas pokok rambutan dan lubang tanah sejak dua bulan lalu.

Salah seekor beruang terbabit membuat habitat di atas sebatang pokok rambutan manakala seekor lagi dipercayai beruang betina bersama anaknya membuat habitat dalam lubang tanah di kawasan berhampiran perumahan kakitangan kerajaan di kampung tersebut.

Seorang penduduk, Sribani Zakaria, 48, berkata, seekor be­ruang dewasa dilihat berkeliaran dan membuat habitat di belakang rumahnya.

Menurutnya, beruang terbabit dipercayai kelaparan apabila kerap mencari makanan termasuk mengambil buah-buahan dan menyelongkar sisa sampah.

“Saya melihat haiwan liar itu memanjat pokok rambutan di belakang rumah untuk ke sarangnya hampir setiap hari bermula pukul 7 malam.

“Beruang itu muncul ketika suasana sunyi terutamanya pada waktu malam. Saya pernah terdengar bunyi pelik dan memeriksa sendiri di belakang rumah sebelum melihat kelibat beruang yang kemudiannya terus melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini semalam

Sukri Abdullah, 57, pula berkata, cerita mengenai beruang masuk dan membuat sarang di kampung merupakan kejadian pertama yang dialami penduduk kampung sejak menetap di Kampung Jerek kira-kira 25 tahun lalu.

Katanya, dia juga pernah terserempak dengan beruang yang bersaiz lebih besar daripada babi manakala tingginya melebihi pinggang manusia.

“Saya pernah terjumpa haiwan itu pada waktu malam dan kira-kira pukul 5 pagi. Kami juga bimbang dengan keselamatan jemaah yang pernah melihat beruang berkenaan ketika dalam perjalanan ke masjid untuk solat subuh dan maghrib.

“Selain berkeliaran dalam kampung, beruang tersebut juga ditemui berada di kawasan Sungai Jerek sehingga menimbulkan ketakutan kepada penduduk,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, mereka telah menerima aduan pada 5 Oktober lalu dan telah ke lokasi berhampiran Hutan Simpan Kekal Ulu Temiang.

Katanya, ukuran tapak beruang itu tidak dapat diperoleh kerana lokasi penemuan haiwan tersebut dibasahi hujan.

“Kita menyarankan pengadu agar memasang lampu di halaman rumah pada waktu malam dan selalu berteman ketika hendak melakukan kerja-kerja pemantauan ternakan di kandang atau pergi ke kebun.

“Pemasangan sebuah perangkap dilaksanakan di bahagian belakang rumah pengadu. Tindakan susulan dan pemantauan akan dijalankan dari semasa ke semasa selain rondaan kawalan akan dilakukan dengan segera sekiranya menerima aduan berulang,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN