Tiga beranak perempuan Rohingya pecah rumah ditahan - Utusan Malaysia

Tiga beranak perempuan Rohingya pecah rumah ditahan

MAZLI Mazlan (tengah) menunjukkan barang yang dirampas berhubung kes pecah rumah selepas penahanan tiga beranak perempuan warga Rohinghya di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tiga beranak perempuan warga Rohingya yang disyaki aktif dalam kegiatan pecah rumah di daerah Kemaman sejak awal tahun ini diberkas pada Isnin lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazli Mazlan berkata, suspek utama merupakan wanita berusia 33 tahun manakala dua lagi anak perempuannya berusia 13 dan 14 tahun ditahan di Kampung Binjai dekat Kemaman.

Menurut beliau, penahanan itu dibuat susulan laporan polis sekitar pukul 1 petang oleh seorang wanita mengenai rumahnya di Kampung Pengkalan Sir, Kemaman yang dipecah masuk pada hari sama.

Jelasnya, perbuatan tiga beranak itu telah dirakam kamera papan kemuka milik jiran mangsa sebelum pihak polis mengesan dan mengekori kenderaan suspek.

“Sebelum itu, terdapat sebuah kenderaan jenis Volkswagen berada di kawasan sebuah kampung dan hasil intipan selama tiga jam mendapati sebuah Perodua Kelisa berhenti berdekatan kenderaan tersebut.

“Pihak polis kemudian mengekori Perodua Kelisa itu sebelum disedari suspek yang memecut laju sehingga terbabas lalu terlanggar sebatang pokok dan mereka berjaya dicekup pada pukul 7 petang, Isnin lalu.

“Turut dirampas barang kemas, wang tunai, dua utas jam tangan, 10 buah beg pelbagai jenis, dua bilah senjata tajam dan dua buah kereta yang dianggarkan keseluruhan lebih RM100,000,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambah Mazli lagi, hasil ujian air kencing mendapati suspek utama positif dadah jenis methampetamine dan memiliki tiga rekod jenayah lampau serta dikehendaki bagi kes pecah rumah di Johor.

Menurut beliau, penangkapan tiga orang suspek itu telah berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah di Kemaman dan satu di Johor selepas suspek mengaku melakukan jenayah itu sejak Januari lalu.

“Modus operandi suspek adalah dengan menggunakan dua anak perempuanya untuk mengambil perhatian mangsa sebelum memecah masuk rumah dan mencuri barang berharga.

“Justeru orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan individu tidak dikenali dan memastikan rumah dalam keadaan berkunci sekiranya mahu meninggalkan kediaman,” katanya.

Mazli menambah, pihaknya tidak menolak terdapat dalang yang disyaki bersekongkol dengan suspek bagi menjalankan kegiatan itu dan siasatan masih dijalankan bagi menyiasat kemungkinan tersebut.

“Suspek kini dalam tempoh reman selama empat hari bermula Selasa bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan pecah rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya