BENTONG: Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, calon BN, Datuk Amizar Abu Adam memperoleh 7,324 undi manakala calon PN, Kasim Samat (4,475 undi) dan calon Bebas Haslihelmy (43 undi).
Jumlah itu membabitkan semua 31 saluran undi dengan majoriti adalah 2,849 undi iaitu melepasi jumlah majoriti memandangkan 70 peratus keluar mengundi.
Perkembangan ini sekali gus menyekat misi PN untuk merampas kerusi tradisi BN itu di samping gagal dalam misi menambah kerusi DUN Pahang ke-18.
PRK DUN Pelangai terpaksa diadakan ekoran kematian penyandang, Datuk Seri Johari Harun dalam insiden pesawat berlaku di Elmina, Shah Alam pada Ogos lalu.
Pada PRU15, Allahyarham Johari daripada BN menang majoriti 4,048 undi dalam pertembungan empat penjuru antara PN, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air. – UTUSAN