Terpulang kepada PN jika mahu fail petisyen

Terpulang kepada PN jika mahu fail petisyen -Amizar

AMIZAR ABU ADAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Terserah kepada Perikatan Nasional (PN) sekiranya mahu mengemukakan petisyen terhadap keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam berkata, mereka berhak berbuat demikian memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi dan mempunyai undang-undang.

Katanya, kempen Barisan Nasional (BN) sepanjang dua minggu dijalankan mengikut undang-undang dan tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Negara kita negara demokrasi kebergantungan itu kepada pihak lawan, biarlah mereka (kemuka petisyen pilihan raya).

“Saya percaya BN menjalankan kempen ikut undang-undang, setakat ini, tiada perkara yang menyalahi undang-undang dimaklumkan kepada saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas bertemu rakyat di Felda Chemomoi di sini hari ini.

Semalam, keputusan PRK DUN Pelangai menyaksikan BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Pelangai dalam PRK itu.

Amizar daripada BN memperoleh 7,324 undi manakala calon PN, Kasim Samat (4,375 undi) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli (47 undi).

Dalam pada itu, Amizar akan mengotakan janji-janji pilihan raya termasuk mahu menambah baik jaringan komunikasi dan kemudahan awam di kawasan ini.

Beliau berkata, manifesto bagi mewujudkan kemudahan stesen minyak di Simpang Pelangai kini dalam peringkat rundingan.

Katanya, dengan adanya stesen minyak itu nanti, ia akan menjadi nilai tambah kepada pembangunan ‘Pelangai Gateaway’ seperti yang dihasratkan.

“Di situ nanti, salah satunya kita akan dapat sekolah tahfiz di bawah Yayasan Prihatin Pahang dan di situlah tempat yang kita akan buat Mini Township. 

“Township ini dilhamkan oleh Allahyarham (Datuk Seri Johari Harun. Insya-Allah kita akan teruskan rancangan dan kini ia dalam peringkat perbincangan dengan pihak Majlis (Perbandaran Bentong),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN