KOTA KINABALU: Subsidi ditanggung kerajaan untuk rakyat meliputi antaranya minyak, elektrik dan makanan pada tahun ini dijangka mencecah RM81 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, biarpun angka itu cukup tinggi, langkah kurangkan subsidi bukan pilihan kerana ia akan membebankan rakyat berpendapatan rendah.
Justeru, katanya, kerajaan akan perkenal dasar yang lebih ampuh dan realistik dalam melaksana rasionalisasi subsidi.
Katanya, antara langkah yang dilakukan adalah menarik semula subsidi elektrik terhadap golongan terkaya, maka mereka perlu membayar bil elektrik mengikut harga pasaran manakala 99 peratus rakyat tidak terkesan dengan pembatalan subsidi tersebut.
“Bagi haji, selama ini Tabung Haji memberikan subsidi kepada semua jemaah dan baru-baru ini, saya telah meminta Tabung Haji mengkaji semula subsidi terhadap orang kaya yang berpendapatan RM1 juta sebulan atau RM100,000 sebulan, mereka ini tidak perlu subsidi. Mereka mendapat haji mabrur dengan keupayaan mereka.
“Namun, subsidi untuk rakyat masih diteruskan dan tahun ini kita perkenalkan rasionalisasi ini dengan meminta masyarakat muslim yang paling kaya, tidak diberikan subsidi. Langkah itu diterima baik,” katanya semasa merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Perdana Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi-Agensi Agama seluruh Malaysia, di sini semalam.
Anwar berkata, dengan jumlah subsidi yang begitu besar, tiada negara yang mampu bertahan maka ada beberapa tindakan diambil bagi mengurangkan subsidi minyak yang mencecah puluhan ribu ringgit setahun.
Kata beliau, jika dilihat harga minyak di Malaysia lebih murah berbanding di Arab Saudi.
“Saya tahu rakan lama saya hari ini berkata ‘menang esok minyak turun’, tapi itu saya umum pada 2008. Pada masa itu, harga minyak Arab Saudi 50 sen dan kita melihat ada keperluan sebab harga minyak turun.
“Sekarang kos meningkat berkali ganda dan harga minyak Arab Saudi lebih tinggi dari Malaysia. Harga minyak termurah sekarang di Brunei dan rendah sedikit dari harga minyak di Malaysia,” katanya.
“Tanggungan subsidi Malaysia juga tinggi. Jadi, rakyat yang berfikir dengan ikhlas dan bertanggungjawab tidak harus mempolitikkan isu ini,” katanya.

Jelas beliau, itu merupakan isu negara dan negara ini harus diselamatkan maka, adakah ia alasan untuk mengurangkan subsidi dan terus membebankan rakyat?
“Sebab itu saya memilih untuk mengumumkan apa yang disebut baru-baru ini. Kita dapat dengar keluhan rakyat dan peningkatan harga beras membebankan rakyat.
“Tidak mungkin kita minta rakyat Sabah yang miskin dibebankan dengan harga beras import yang mahal,” katanya.
Menurut laman sesawang rasmi Kementerian Kewangan, unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang setakat ini berjumlah RM77.3 bilion bagi 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.
Apabila ditambah dengan bantuan-bantuan lain seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat, termasuk Bantuan Keluarga Malaysia – BKM (RM11.7 bilion), dan lain lain-lain subsidi (RM14.6 bilion), jumlah keseluruhan subsidi setakat ini adalah RM77.3 bilion bagi 2022. Ini juga mengambil kira pengumuman oleh kerajaan mengenai:
-Bantuan tunai tambahan RM630 juta, yang meningkatkan jumlah BKM Fasa 2 bagi golongan berpendapatan rendah kepada RM1.74 bilion mulai 27 Jun 2022;
– Subsidi elektrik bernilai RM5.8 bilion untuk separuh tahun kedua bagi memastikan tiada kenaikan tarif elektrik mulai 1 Julai 2022. – UTUSAN











