BALING: Mangsa-mangsa banjir di daerah ini memohon agar pihak berkaitan segera melakukan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa kayu balak, lumpur serta pasir yang memenuhi tebing Sungai Kupang dan halaman rumah mereka akibat bencana itu baru-baru ini.
Haslizan Abu Hasan, 40, berkata, setelah seminggu tragedi itu berlalu, ‘sampah-sarap’ seperti tunggul-tunggul kayu, lumpur, barangan dapur dan peralatan elektrik penduduk yang dihanyutkan air bah masih berselerakan di halaman rumahnya dan jiran-jiran.
“Sama seperti banjir kepala air tahun lalu, arus deras turut membawa sisa-sisa kayu balak tetapi kali ini bertambah banyak berbanding kejadian lalu apabila tiga jambatan runtuh termasuk kayu-kayu balak itu tersangkut di jambatan yang berada di hadapan rumah saya.
“Sehingga hari ini, tiada siapa yang bersihkan kayu-kayu ini dan saya bimbang jika berlaku lagi hujan lebat serta banjir, ia akan meruntuhkan satu-satunya jambatan yang ada ini yang menyebabkan kemungkinan kami terperangkap kerana sudah tiada laluan untuk selamatkan diri,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Empang semalam.
Menurutnya, mereka tiada kemampuan untuk mencuci sisa-sisa banjir itu memandangkan perbelanjaan untuk menyewa jentera berat bagi melakukan kerja-kerja pembersihan sememangnya mahal.
Sedangkan katanya, keadaan di dalam rumahnya juga belum dibersihkan sepenuhnya kerana masih terdapat barangan seperti tilam, tikar getah, pakaian, barangan elektrik dan perabot yang belum dicuci.
“Setakat ini hanya saya dan isteri serta anak-anak sahaja yang melakukan kerja-kerja pembersihan. Rakan-rakan kampung yang bersimpati dengan kami ada datang membantu tetapi tidak sepenuhnya kerana rumah mereka juga turut dimasuki air,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Nazrul Ramli, 35, pula berkata, bahagian dalam rumahnya telah dicuci sedikit demi sedikit, namun di bahagian halaman masih dipenuhi lumpur dan pasir akibat banjir itu.
“Saya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk sewa jentera berat bagi membersihkan halaman rumah kerana masih tiada mana-mana pihak yang datang membantu meskipun sudah seminggu kejadian banjir berlaku,” katanya. – UTUSAN










