KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar kegiatan pengedaran dadah dengan mengupah jurukimpal dengan bayaran RM50,000 bagi menyorok syabu di dalam besi yang diubah suai untuk dijadikan kaki meja.
Modus operandi terbaharu itu digunakan sindiket pengedaran dadah jenis syabu yang menjadikan sebuah gudang besi di Taman Sri Muda sebagai lokasi simpanan dadah.
Dadah bernilai hampir RM7 juta itu akan dimasukkan di dalam batang besi berkenaan sebelum diedarkan kepada pelanggan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kegiatan itu dibongkar Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dengan kerjasama JSJN Selangor melalui penahanan dua lelaki berusia 42 dan 50 tahun, semalam.
Katanya, lelaki tersebut bekerja sebagai jurukimpal di gudang terbabit dan menerima upah sebanyak RM50,000 bagi kerja yang dilakukan.
“Susulan penahanan dua individu berkenaan, polis turut menemukan 200 bungkusan dadah jenis syabu seberat 208 kilogram (kg) yang disorok di dalam batang besi.
“Kita turut merampas wang tunai RM10,700, 10,600 Baht Thailand (RM1,383), barang kemas bernilai RM17,000, sebuah kereta jenis Toyota Vios dan bahan serta peralatan untuk mengubah suai besi,” katanya dalam sidang akhbar di Kontinjen Polis Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan rekod lampau mendapati kedua-dua individu berkenaan tidak mempunyai kesalahan lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif.
“Kita tidak menolak kemungkinan bekalan dadah ini untuk diedarkan di Lembah Klang dan tidak menolak kemungkinan untuk transit,” katanya.
Jelasnya, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti dalang dan individu yang membekalkan dadah kepada dua suspek ini.
“Kedua-dua individu berkenaan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 26 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan kepada pihak polis supaya kegiatan jenayah di ibu kota dapat diambil sewajarnya,”katanya.-UTUSAN










