KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya yang ditahan dengan wang tunai RM38 juta pada Julai lalu masih berjalan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan terhadap individu itu sedang dijalankan oleh pasukan petugas dianggotai pelbagai agensi kerajaan termasuk SPRM.
“Pasukan petugas itu dianggotai pelbagai agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan lain-lain,” katanya selepas majlis Program Public-Private Partnership (PPP) Fasa 2 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abd Rahman Abu Bakar.
Penahanan ahli perniagaan bergelar Datuk dan sekutunya itu dilakukan SPRM dalam Op 82S yang diadakan besar-besaran pada 25 Julai lalu.
Hasil penahanan itu, emas seberat anggaran 200 kilogram bernilai kira-kira RM60 juta serta 17 kereta mewah dirampas.
Menurut sumber, pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia – Multi Agency Task Force (MATF) yang diketuai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan operasi besar-besaran itu sekali gus melumpuhkan satu sindiket rasuah, pecah amanah, penyeludupan barang-barang haram dan pengurangan cukai tidak sah.
Penahanan kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Akta Percukaian 1967 dan Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan berasingan, mengulas mengenai siasatan membabitkan firma guaman Rosli Dahlan Saravan (RDS), Azam berkata, beberapa lagi dokumen melibatkan anak guam firma itu sedang dalam proses diperoleh.
Kata beliau, kelulusan Mahkamah Tinggi diperlukan kerana dokumen itu dilindungi oleh keistimewaan klien dan peguam.
“Kita (SPRM) memfailkan perkara berkenaan di bawah Seksyen 46 Akta SPRM 2009 di mana ia memerlukan kelulusan dari Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan dokumen serta keterangan daripada seorang klien,” katanya.-UTUSAN










