PETALING JAYA: Amanah Saham Bumiputera (ASB) dijangka mengagihkan dividen dan bonus yang lebih tinggi sekitar 6.0 sen seunit bagi tahun kewangan 2025, didorong oleh pulangan dari pasaran saham yang lebih baik dan sumbangan dari pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, ASB dijangka mencatatkan dividen sekitar 5.5 sen seunit dengan bonus kira-kira 0.5 sen, menjadikan peningkatan sekitar 0.25 peratus berbanding keseluruhan 5.75 sen tahun lalu.
Katanya, prestasi institusi pelaburan tempatan lebih baik pada tahun ini berikutan pasaran saham domestik yang lebih aktif.
“Walaupun pelaburan asing tidak banyak masuk, institusi pelaburan tempatan mengambil kesempatan daripada keadaan tersebut.
“Perkara ini boleh dianggap sebagai hikmah disebaliknya kerana pelaburan tempatan masih menguntungkan.
“Pelaburan asing pula lebih tertumpu kepada pasaran luar, khususnya untuk mendapatkan pulangan dalam mata wang asing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tahun lalu, PNB melalui syarikat pengurusan unit amanahnya Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan ASB sebanyak 5.75 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Jumlah ini terdiri daripada agihan pendapatan 5.5 sen dan bonus 0.25 sen, menjadikan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM10.1 bilion, dengan pengagihan ini akan memberi manfaat kepada lebih 11.1 juta pemegang unit.
Sementara itu, Barjoyai berkata, Permodalan Nasional Berhad (PNB) juga mempunyai pelaburan di luar negara yang dapat memberi pulangan kepada ASB, selain pelaburan domestik.
Katanya, PNB juga mempunyai pelaburan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang kebanyakan syarikat kewangan yang memberi pulangan baik kepada pemegang saham.
Memandang ke hadapan, beliau berkata, tahun hadapan merupakan kemuncak pusingan ekonomi, dengan pasaran hartanah berpotensi mencapai paras tertinggi.
“Oleh itu, institusi pelaburan Malaysia seperti PNB dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu mengambil peluang dalam sektor hartanah, di samping bersedia menghadapi fasa pusingan ekonomi menurun selepas itu,” ujarnya. – UTUSAN










