Kabinet baharu

Kabinet baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Berbaki 23 bulan se­belum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Perdana Mente­ri, Datuk Seri Anwar Ibrahim me­ngumumkan rombakan kali kedua dalam tempoh 36 bulan ke­rajaan Perpaduan mengambil alih kerajaan.

Kali pertama dilakukan pada 12 Disember 2023 ketika kepim­pinan Anwar melangkaui usia se­tahun, bertujuan membuat penyesuaian dalam memenuhi tuntutan dan keadaan semasa.

Semalam, beliau mengu­mum­­­kan sebanyak 28 jawatan men­teri dan timbalan menteri berlaku perubahan termasuk lan­tikan serta penukaran portfolio baharu dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Lantikan baharu dalam ka­la­ngan Menteri ialah Datuk Mus­tapha Sakmud dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sa­bah dan Sarawak); Dr. Zulkifli Hasan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);

Datuk Seri R. Ramanan sebagai Menteri Sumber Manusia; Dr. Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan, Datuk Arthur Joseph Kurup sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Noraini Ahmad.

Bagi jawatan timbalan menteri, Datuk Lo Su Fui dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan); Marhamah Rosli sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); Chiew Choon Man sebagai Timbalan Menteri Pelanco­ngan, Seni dan Budaya dan Yuneswaran Ramaraj sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara.

Selain itu, Sim Tze Tzin sebagai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Datuk Mohd. Shahar Abdullah sebagai Timbalan Menteri Ekonomi, Mordi Bimol sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan serta Syed Ibrahim Syed Noh sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Perdana Menteri berkata, penyesuaian itu dibuat susulan beberapa kekosongan dalam barisan Jemaah Menteri serta keperluan semasa untuk memperkukuh keupayaan Kabinet menghadapi cabaran ekonomi dan kebajikan rakyat.

“Seperti mana sedia maklum, ada beberapa kekosongan dalam barisan Jemaah Menteri dan ada keperluan membuat sedikit penyesuaian, supaya Kabinet bekerja sebagai satu pasukan dan menumpukan perhatian bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang le­bih segar serta menyelesaikan masalah rakyat,” katanya pada sidang akhbar khas pengumuman Kabinet Kerajaan Perpa­duan di sini semalam.

Rombakan Kabinet ini melibatkan tiga pertukaran portfolio menteri, 10 pertukaran portfolio timbalan menteri, manakala lantikan baharu melibatkan tujuh menteri dan lapan timbalan menteri menjadikan keseluruhan 28 menteri dan timbalan menteri.

Pertukaran portfolio, nama-nama terlibat:

* Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani (sebelum ini Menteri Peladangan dan Komoditi).

* Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong (sebelum ini Menteri Sumber Manusia).

* Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang sebelum ini Menteri Belia dan Sukan.

* Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan (sebelum ini Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama).

* Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Nor­aini Ahmad (sebelum ini Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

* Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan (sebelum ini Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi).

* Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (sebelum ini Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air).

* Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (sebelum ini Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan).

* Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong (sebelum ini Timbalan Menteri MITI).

* Timbalan Menteri Pemba­ngunan Usahawan dan Ko­perasi, Datuk Mohamad Alamin (sebelum ini Timbalan Menteri Luar).

* Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (sebelum ini Timbalan Menteri Kerja Raya).

* Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin (sebelum ini Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi).

* Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni (sebelum ini Timbalan Menteri Kesihatan).

* Timbalan Menteri Pemba­ngunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying (sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan).

* Timbalan Menteri Perlada­ngan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii (sebelum ini Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam).

* Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan (sebelum ini Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya).

* Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim (Sebelum ini Timbalan Menteri Belia dan Sukan).

* Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib (sebelum ini Timbalan Menteri Ekonomi).

Tiga nama digugurkan iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Perpa­duan, Saraswathy Kamdasamy.

Anwar merakamkan penghargaan atas khidmat baik dan sumbangan bakti mereka pada kementerian dan negara.

Malah turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan menteri dan timbalan menteri yang menyumbangkan tenaga bakti melalui kementerian dan negara sebelum ini.

Upacara angkat sumpah jawatan menteri dan timbalan menteri yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, berlangsung 10 pagi di Istana Negara, diikuti mesyua­rat Jemaah Menteri pada 2.30 petang ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN