MEDIA sosial dengan mudahnya menjadikan dunia pada selebriti dan pempengaruh sebagai bahan perbincangan. Ia boleh jadi sesuatu yang baik, namun selalunya, apa yang sensasi, panas dan kontroversi akan mendapat lebih banyak perhatian masyarakat.
Pelakon, Alicia Amin, 27, menerusi drama bersiri terbarunya That Cover Girls, menceritakan bagaimana naskhah itu menunjukkan refleksi sebenar masyarakat, media sosial dan dunia selebriti yang kadangkala tidak semuanya membawa diri mereka dengan jujur ke tengah khalayak.
“Dalam dunia selebriti, apa yang penting ialah nombor. Tidak kiralah sama ada ia adalah jumlah pengikut atau tontonan video. Kalau itulah sumber periuk nasi seseorang, cara untuk mendapat tontonan yang tinggi ialah dengan memberi apa yang khalayak mahukan.
“Realitinya, apa yang masyarakat mahu selalunya isu yang panas dan kontroversi. Itulah yang akan dapat banyak tontonan. Tajuk sesebuah akhbar juga kena sensasi kerana itu yang orang mahukan.
“Saya berpendapat, seni adalah refleksi kepada masyarakat,” katanya.
Di samping lambakan naskhah yang bersifat fantasi, Raja Alicia Raja Amin berpendapat sudah masanya cerita-cerita yang lebih berat serta mengajak masyarakat berfikir dibawa lebih banyak ke layar.
“Banyak orang yang tidak menggemari naskhah yang berat kerana itu membuat mereka penat untuk berfikir.
“Tapi kita ingin karya yang membawakan sesuatu yang lebih serius, mencerminkan realiti dengan cara yang tidak dangkal.
“Bila penonton tengok, mereka akan faham bagaimana kehidupan dunia media sosial. Ia berkaitan dengan semua orang. Seperti cerita ini yang menunjukkan bagaimana usahawan popular jual tudung tapi moralnya tidak selari dengan pendiriannya,” tambahnya.
Setiap orang buat kesalahan
Alicia membawakan premis asas bahawa setiap orang membuat kesalahan termasuklah selebriti. Membawakan watak Laila tidak hanya membuatkan gadis Johor Bahru itu berperang dengan perasaan sendiri, tapi turut menjadikannya lebih manusiawi.
“Saya tidak sepenuhnya bersetuju dengan watak Laila yang saya bawakan. Namun sebagai pelakon, saya buang ego untuk memastikan watak itu berjaya dikeluarkan.
“Ia mengajar saya bahawa setiap orang melakukan kesalahan namun ia bergantung kepada bagaimana cara kita mengawalnya,” tambahnya.
That Cover Girls menjadi drama bersiri produksi tempatan pertama di bawah Over The Top (OTT), Prime Video, bakal menyiarkan siri Amazon Original dari Malaysia secara eksklusif berjudul That Cover Girl bermula Oktober.